Sesi Dialog PM Lee, Pemimpin Islam tentang isu Tudung

Foto: The Straits Times

Sesi dialog tadi berjalan lancar.  Saya gembira kerana para peserta berkongsi pandangan mereka dengan jujur dan secara terus terang, objektif dan matang.  Kami berbincang dari hati ke hati.

Saya akur isu tudung ini suatu isu penting dan sensitif bagi masyarakat Islam Singapura.  Tapi sebenarnya isu pokok bukan tentang tudung tetapi lebih luas lagi iaitu apakah bentuk masyarakat yang kita inginkan di Singapura.

Pendirian pemerintah atas soalan pokok ini terang dan kita telah mengambil pendirian ini sejak merdeka 50 tahun lalu iaitu kita mahu bina di Singapura sebuah masyarakat yang berbilang kaum dan berbilang agama dan yang memberi peluang saksama kepada semua kaum dan semua agama di Singapura.

Kita juga harap kaum-kaum minoriti akan dapat ruang yang cukup untuk menjalankan kewajipan mereka dan cara hidup mereka untuk mengambil bahagian dalam kejayaan dan kemajuan negara Singapura.

Seberapa boleh pemerintah akan menolong dan memberi sokongan yang lebih kepada kaum-kaum minoriti kerana kita harap mereka akan maju ke hadapan dengan kaum-kaum lain dan termasuk kaum Melayu/Islam.

Tapi untuk capai matlamat besar kita ini, kita harus bersikap tolak ansur supaya semua kaum selesa dengan satu sama lain.  Kita tidak boleh berbincang tiap-tiap satu isu secara terpencil kerana kalau kita berbincang secara begitu dan berbincang mengenai hak, wajib dan bagaimana kita mesti dapat sesuatu isu, boleh jadi segala-gala objektif kita yang lebih penting akan dihapuskan.  Itu saya fikir sangat buruk untuk Singapura.

Jadi kejayaan Singapura tidak diukur berdasarkan satu-satu perkara sahaja tetapi dalam konteks yang lebih besar – sama ada kaum-kaum yang berbeza hidup secara harmoni; sama ada semua rakyat berpeluang untuk maju dan hidup dengan aman dan selamat.  Inilah perspektif yang lebih luas yang saya ambil dalam perbincangan tadi dan saya percaya peserta-peserta faham dan terima pandangan saya.

Jika kita lihat selama 10 tahun lalu, jelas dalam isu tudung telah ada kemajuan.  Banyak badan berkanun telah membenarkan kakitangan mereka memakai tudung bersama pakaian uniform mereka.
Dan keadaan yang kita lihat hari ini, saya tidak fikir, akan selalu kekal begini kerana masyarakat kita sedang berubah, dunia sedang berubah, negara sedang maju ke depan. Saya fikir setiap tahun secara beransur-ansur, perlahan-lahan, apa yang kita buat di Singapura dalam masyarakat kita akan juga berubah.  Tetapi perubahan ini mesti berjalan dengan teliti, dengan berhati-hati, mesti berjalan tidak terlalu cepat atau menghapuskan apa yang kita telah capai iaitu suatu masyarakat di mana semua kaum dapat hidup dengan harmoni dan dapat menjadi orang Islam yang dapat menunaikan wajib Islam dan pada masa yang sama seorang warga Singapura yang menunaikan kewajiban sebagai warga Singapura.

Jadi pemerintah inginkan yang terbaik untuk masyarakat Singapura dan untuk masyarakat Melayu/Islam. Dalam isu ini ada pandangan-pandangan yang berlainan tetapi hasrat kita tidak berbeza.  Kita harap yang terbaik untuk kaum Melayu/Islam dan kita harap kita boleh bekerjasama dengan kaum Melayu/Islam untuk mewujudkan hasrat kita.

Tadi dalam dialog ada yang kata kita patut bertanding antara satu sama lain supaya dapat menjelaskan isu ini.  Saya kata tidak.  Kita patut menari bersama, supaya kita boleh bekerjasama, supaya kita boleh capai apa yang kita sama-sama harapkan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *