Bekas Pelajar Madrasah Aljunied Terima Ijazah Kepujian Kelas Pertama NUS

https://www.facebook.com/faizal.binabdulaziz

https://www.facebook.com/faizal.binabdulaziz

DARI madrasah ke universiti ulung dunia. Demikian pencapaian Encik Faizal Abdul Aziz, 26 tahun, yang juga merupakan antara 1 peratus pelajar terbaik kohortnya bagi tahun terakhir pengajiannya di Universiti Nasional Singapura (NUS). Bekas pelajar Madrasah Aljunied itu, yang mengambil jurusan utama ilmu alam, menerima ijazahnya dengan kepujian kelas pertama di majlis konvokesyen NUS semalam.

Beliau, yang meraih Gred Purata Mata (GPA) 4.89 mata daripada GPA penuh 5 mata, turut dianugerahkan Pingat Emas Lee Kuan Yew dan Pingat Emas Persatuan Ilmu Alam NUS. Atas kecemerlangannya, beliau turut dipilih menyampaikan ucapan perpisahan (valedictory speech) di majlis konvokesyen NUS pada hari ini.

Encik Faizal juga menerima tawaran melanjutkan pengajiannya ke peringkat sarjana di Universiti Cambridge di United Kingdom tetapi buat masa ini, beliau ingin meraih pengalaman kerja buat beberapa tahun dahulu.

“Ibu bapa saya bimbang apabila saya beritahu mereka saya hendak meninggalkan madrasah… mungkin kerana mereka ada rancangan lain untuk saya. Tetapi apabila mereka lihat saya bekerja keras untuk terus mencapai keputusan cemerlang kerana tidak ingin menghampakan mereka, mereka bertambah yakin dengan keputusan saya,” kata anak bongsu daripada keluarga dua beradik itu.

Ibunya merupakan pegawai pentadbiran, sementara bapanya bertugas sebagai pegawai logistik. Encik Faizal yang menuntut di madrasah selama 10 tahun sejak di peringkat sekolah rendah meninggalkan madrasah pada usia 16 tahun untuk menduduki peperiksaan GCE Peringkat ‘O’ sebagai calon privet. Ketika itu, kebanyakan mata pelajaran yang diambilnya seperti biologi, fizik, kimia, pengajian sosial, ilmu alam dan perdagangan adalah asing baginya.

Namun dengan bimbingan guru tuisyen dan kegigihannya mengulang kaji pelajaran sendiri, beliau mencapai keputusan cemerlang bagi peperiksaan tersebut yang melayakkannya memasuki Maktab Rendah Catholic (CJC).

“Saya rasa kekurangan berbanding teman-teman lain kerana banyak subjek yang saya ambil, saya tak belajar di madrasah, jadi saya terpaksa berusaha lebih keras,” ujarnya.

Encik Faizal merupakan antara 10,233 lulusan yang menerima ijazah mereka dalam majlis konvokesyen di NUS yang berlangsung sejak semalam hingga Selasa depan.

Ketika baru memasuki NUS, Encik Faizal berkata beliau tidak menetapkan matlamat menjadi pelajar terbaik tetapi setakat hendak melakukan yang terbaik supaya dapat cari pekerjaan yang baik selepas tamat pengajian demi membanggakan keluarganya.

Malah, beliau tidak pernah mendengar tentang Senarai Dekan, satu anugerah yang diberikan kepada 5 peratus pelajar terbaik setiap kohort, sehingga dimasukkan ke dalam senarai itu buat kali pertama pada tahun pertama pengajiannya. Semasa di tahun kedua pengajiannya, Encik Faizal juga merupakan antara empat pelajar NUS yang dipilih mengikuti pengajian di Universiti North Carolina Chapel Hill di Amerika Syarikat selama setahun di bawah satu program ijazah bersama yang dikendali bersama universiti itu dengan NUS.

“Bagi saya, apa yang penting adalah disiplin diri dan untuk terus mendorong diri kerana saya tidak mahu pulang dengan tangan kosong. Saya juga suka bersaing dengan diri saya, dan ingin melakukan lebih baik dalam setiap semester berbanding semester yang lalu,” ujarnya.

Source: http://beritaharian.sg/setempat/terus-cemerlang-biarpun-tinggalkan-madrasah

letters to R1C banner

YOUTUBE: youtube.com/user/rilek1corner

FACEBOOK: facebook.com/rilek1corner

TWITTER: twitter.com/Rilek1Corner

WEBSITE: rilek1corner.com

EMAIL: [email protected]

FEEDBACK: rilek1corner.com/hubungir1c/

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *