Melayu Harus Yakin Berjaya

Lama saya berfikir apabila ingin menulis tajuk ini. Pelbagai pertimbangan bermain di fikiran. Pertama, khuatir tulisan ini akan disalahtafsir dan kedua, saya sendiri berkali-kali bertanya pada diri sendiri sama ada tulisan ini akan berlawanan dengan apa yang saya percaya iaitu perpaduan kaum dan pembangunan kepada semua tanpa mengira bangsa adalah asas kepada kestabilan negara.

Walau bagaimanapun, jikalau kita bercakap tentang pembinaan negara, mahu tidak mahu keadaan pembangunan mengikut kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain harus diteliti dengan baik. Sama ada semakin selesa hidupnya atau semakin pintar pemikirannya adalah turut menjadi penentu kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Oleh yang demikian, saya berasa terpanggil untuk berkongsi sedikit pengalaman saya sepanjang saya mengadakan latihan industri atau internship yang berbaki hanya 3 minggu lagi di Brisbane, Australia. Saya berpeluang bertemu dengan rakan-rakan profesional Melayu yang bekerja di syarikat-syarikat gergasi multinasional antarabangsa dan berpeluang mengelilingi dunia atas urusan kerja dan berurusan dengan pelbagai warganegara. Dalam erti kata lain, ini contoh anak Melayu yang bergaji besar dan berjaya dalam pekerjaan masing-masing.

Saya cuba untuk letakkan dalam perspektif tajuk penulisan saya dengan pengalaman saya di Brisbane kerana setakat pemerhatian saya, wujudnya keadaan di mana anak-anak Melayu tidak diberikan dorongan yang cukup dan gambaran sebenar mengenai kelebihan yang ada pada diri masing-masing.

Contohnya, saya perhatikan di universiti-universiti ada rakan-rakan Melayu saya yang pintar pada pemikirannya tetapi tidak mahu berhujah dan berbincang kerana penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah dan dikatakan mungkin kaum Cina dan India lebih mahir dalam bahasa itu. Saya berpendapat kerangka pemikiran ini harus diubah dan anak Melayu perlu senantiasa diingatkan bahawa kelebihan yang ada pada diri mereka perlu dimanfaatkan dan harus sentiasa rajin dan bekerja keras.

Segala kelebihan dan hak-hak keistimewaan orang Melayu seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipertahankan kerana itu adalah asas kepada pembinaan negara ini. Namun begitu, usaha tidak boleh terhenti setakat itu sahaja.

Kita harus sentiasa yakinkan anak-anak Melayu yang ada di bandar dan di desa bahawa peluang itu sentiasa ada dan anak Melayu boleh mengelilingi dunia dan berjaya kerana sudah ada yang melakukannya.

Akhir sekali, apa yang saya cuba sampaikan dalam penulisan ini mudah iaitu untuk pastikan perpaduan kaum terus diperkukuh, kita perlu terlebih dahulu membuang segala ketakutan dan perasaan tidak yakin kerana jurang antara kaum dalam pelbagai sudut boleh menjadi penghalang kepada perpaduan kebangsaan. Hanya dengan keyakinan dalam diri untuk berjaya akan menjadikan kita tidak lagi hidup dalam perasaan ketakutan dan syak wasangka antara satu sama lain.

Ditulis oleh: Affendy Hasni

Source: http://www.themalaymailonline.com/opinion/affendy-hasni/article/melayu-yang-yakin-dan-bejaya#sthash.ZC806A3n.dpuf

letters R1C

YOUTUBE: youtube.com/user/rilek1corner

FACEBOOK: facebook.com/rilek1corner

TWITTER: twitter.com/Rilek1Corner

WEBSITE: rilek1corner.com

EMAIL: [email protected]

FEEDBACK: CONTACT RILEK1CORNER

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *