Perjalanan Hidup Razzi M Dulu Dan Sekarang

BDB

MUZIK telah menjadi darah dagingnya dan minat yang begitu mendalam dalam seni muzik tidak pernah luput dimamah zaman.

Walaupun usia telah menjangkau 67 tahun, selaku ketua dan gitaris utama kumpulan bertaraf legenda, Black Dog Bone (BDB), Razzi M atau Encik Ishhar Masrom, tetap aktif bergiat dalam bidang muzik.

Lima tahun lalu, Razzi menubuhkan sebuah kumpulan muzik, Nadaria, dalam satu usaha mengumpul bakat-bakat muzik lama agar terus bergiat dalam seni muzik.

“Kami kumpulkan kawan-kawan yang boleh main muzik dan kami jadikan satu kumpulan khas bagi persembahan dalam acara seperti majlis perkahwinan.

Anggota kumpulan Nadaria ini terdiri daripada orang-orang lama yang dahulunya mereka adalah penggiat seni yang pernah main gitar, akordian dan lain-lain.

“Saya bimbing mereka bermain sambil belajar baca muzik. Kami memainkan lagu seperti dari era ’40-an dan ’50-an,” kata Razzi.

Kumpulan Nadaria yang terdiri daripada sekitar 10 anggota mendapat sambutan baik.

“Kami menghidupkan semula lagu-lagu yang didendangkan oleh Nona Asiah dan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee,” tambah pemuzik generasi perintis.

Razzi dan isterinya santai ketika ditemui Berita Minggu di halaman rumah di Toh Guan Road.

Isterinya, Cik Rohaya Mohamed Taib, 56 tahun, merupakan penyanyi nasyid kumpulan Hidayah.

Mereka mempunyai tiga orang anak dan masing-masing berbakat dalam bidang seni muzik bak pepatah mana nak tumpah kuah kalau tak ke nasi.

“Buat masa ini BDB belum lagi mempunyai rancangan mengadakan konsert,” kata Razzi yang merupakan presiden bagi Festival Muzik Amal (CMF).

Awal tahun ini, BDB membuat persembahan di CMF II – Masih Ada Yang Sayang – bagi mengumpul dana membantu rakan seni yang memerlukan bantuan kewangan rawatan kesihatan.

Antara penerima lalu CMF adalah pemain bes BDB, Hamid Ahmad, yang kini telah dapat berjalan dengan bantuan kaki palsu.

Kisah beliau diterbitkan akhbar ini baru-baru ini. Perancangan CMF tahun depan pula telah pun diadakan. “Kami akan adakan konsep keluarga dan dapatkan artis-artis yang digemari semua generasi,” ujar beliau.

Baru-baru ini, Razzi mula menceritakan kisah-kisah lalu BDB di laman Facebook yang turut disisipkan gambar-gambar. “Orang selalu bertanya macam mana asal BDB dari titik mula ia ditubuhkan. Jadi saya ceritakanlah segala perkembangan BDB sejak awal dan kisah jatuh bangun kami,” katanya.

Dimulakan pada 1973 di Singapura, BDB telah mewarnai industri muzik serantau lebih empat dekad. Bagaimanapun, katanya, sebelum itu anggota BDB berasal daripada kumpulan yang bermain dan mengiringi artis-artis Cina. Katanya, cinta terhadap muzik merentasi bangsa dan bahasa.

Dijelaskannya di laman Facebooknya, Razzi mengimbas kembali pada 1968 di mana beliau berjinak-jinak dengan muzik Cina dan bekerja di Malaysia Bar Kelang Lane bermain gitar bas dengan gaji sebanyak $120 sebulan. Itulah titik permulaan persahabatannya bersama pemuzik mapan, S. Atan.

“Pada mulanya kecoh jugak sebab tak pernah dengar pun lagu-lagu Cina ini, mentelah lagi lagu-lagu Cina klasik… tapi S. Atan banyak membantu kerana beliau memang dah master dengan lagu-lagu Cina, lagi pun beliau boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Mandarin… yang bestnya kita dapat bekerja di tiga berlainan kelab sebab sebuah kelab hanya bekerja selama tiga atau empat jam saja.

“Ini berlanjutan sehingga dapat saya kumpulkan teman-teman yang diberi nama Black Dog Bone… Jadi jangan heran kalau Black Dog Bone memang berasal daripada kumpulan yang bermain dan mengiringi artis Cina… dari bar ke restaurant, dari restaurant ke kelab, lagu-lagu Cina dah sebati dengan kami…” tulis Razzi dalam Facebook-nya.

Pemuzik generasi perintis serta rakan seperjuangya itu telah pun mendapat pujian sejauh Eropah.

Tahun lalu pula, BDB diberikan Anugerah Khas Anugerah Planet Muzik (APM) yang merupakan pengiktirafan tertinggi dalam majlis anugerah tersebut.

“Saya rasa ada harapan muzik tempatan boleh berkembang.

Kebanyakan mereka meraih populariti secara segera melalui memuat naik rakaman ke laman Facebook dan YouTube.

“Mereka seharusnya pelajari daripada pengalaman penyanyi lama yang bermula dari bawah dan terus mengasah bakat mereka,” nasihatnya kepada generasi pelapis yang bakal menerajui persada seni masa depan.

Sumber: http://beritaharian.sg/setempat/perjalanan-hidup-razzi-m-dulu-dan-sekarang

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *