Anak Perempuan Fandi Ahmad Mahu Jadi Model

iman fandi

KEMANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?

Kalau anak bujang legenda bola sepak Fandi Ahmad mengikut jejak langkah bapa mereka dalam sukan itu, satu-satunya anak gadisnya pula memilih mengikut jejak langkah ibu mereka.

Walaupun baru berusia 14 tahun, Iman sudah terserlah bakatnya dalam bidang peragawati, sama seperti ibunya, Wendy Jacobs. Hasrat Iman menjadi model dipendam kerana dia pelajar Sekolah Sukan Singapura (SSP) dan pernah menjadi juara larian pecut 100 meter antara sekolah rendah.

Bahkan ketika mengambil keputusan menyertai pertandingan model The New Paper New Face 2014, Iman hanya membincangkan hal itu dengan ibunya, tidak dengan Fandi.

“Bapa saya tak tahu saya masuk pertandingan ini,” cerita Iman, anak ketiga lima beradik.

Bagaimanapun, apabila penyertaan Iman akhirnya sampai ke pengetahuan Fandi, si bapa tetap memberi sokongan.

Sebagai peserta paling muda dalam kalangan 20 finalis, Iman berjaya meraih dua anugerah sampingan dalam pertandingan yang diadakan di Ngee Ann City kelmarin.

Dia meraih anugerah Miss Fashionista New Look dan Miss Popularity – anugerah yang diberikan kepada finalis yang berjaya meraih undian awam tertinggi. Iman berjaya meraih 29 peratus daripada lebih 10,00 undian.

Pelajar Sekolah Menengah Tampines, Diya Prabhakar, 15 tahun, yang juga peserta paling tinggi – 1.82 meter – dinobatkan pemenang pertandingan yang diadakan buat tahun ke-22 itu.

Apabila nama Iman disebut sebagai pemenang, dewan Ngee Ann City bergema dengan sorakan peminatnya.

Apakan tidak! Selain keluarga dan sahabat handainya, keluarga pemain bola sepak Aide Iskandar dan Abbas Saad juga kelihatan memberikan sokongan penuh kepada gadis manis itu.

Iman yang kelihatan agak letih apabila ditemui selepas pertandingan itu menyatakan dia sebenarnya sedang sibuk mempersiapkan diri bagi menghadapi peperiksaan akhir tahun dalam masa dua minggu lagi.

“Saya cuba bahagikan masa dengan bijak.

Selepas habis sekolah, ibu akan mengambil saya dan kemudian hantar saya ke sesi latihan pertandingan pada sebelah petang.

“Setiap masa terluang saya gunakan untuk mengulang kaji pelajaran,” katanya yang berwajah salin tak tumpah ibunya.

Menurutnya lagi, dia banyak menonton rancangan realiti Tyra Banks seperti America’s Next Top Model bagi mendapatkan ilham.

Ibunya yang kelihatan cukup gembira dengan pencapaian Iman berkata beliau yakin anaknya mempunyai bakat yang menyerlah dalam bidang ini.

“Saya hanya memberitahunya agar tenang dan gembira di atas pentas.

“Di rumah saya tak berikan sebarang petua catwalk pun kerana dia asyik sibuk mengambil selfie sahaja,” gelak Wendy yang kelihatan anggun dengan bergaun pendek kuning.

Iman juga berharap penyertaannya dalam pertandingan ini akan menjadi batu loncatan baginya terus melibatkan diri dalam bidang modeling. “Saya tidak akan berhenti di sini.

Saya akan berusaha sedaya upaya menjadi model yang berjaya,” jelasnya dengan lemah lembut.

Apabila ditanya kepada Fandi adakah beliau akan menyokong jika anaknya yang kini giat dalam sukan atletik di Sekolah Sukan Singapura menjadikan modeling sebagai kerjayanya, sambil tersenyum si bapa itu berkata:

“Kami perlu bincang mengenai hal ini terlebih dahulu.”

– Source: http://beritaharian.sg/gah/hiburan/puteri-fandi-mahu-jadi-model#sthash.irh2r6zU.dpuf

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *