Saudi Arabia Keluar Fatwa Untuk Jelaskan Mengapa Islam Harus Tolak IS

RIYADH: Kepimpinan kanan ulama Arab Saudi telah mengeluarkan fatwa baru yang mengisytiharkan pengganasan sebagai “jenayah kejam” di bawah undang-undang syariah – yang merupakan satu lagi komitmen kerajaan Saudi untuk menolak IS dan kekejaman militan itu kononnya sebagai perjuangan atas nama Islam.

“Pengganasan adalah bertentangan dengan tujuan agama Islam, iaitu membawa rahmat di seluruh dunia.

“Pengganasan tidak ada kaitannya dengan Islam dan merupakan ideologi yang menyimpang.

“Pengganasan tidak lebih daripada hanya kerosakan dan jenayah yang ditolak oleh undang-undang syariah dan akal budi,” kata para ulama dalam kenyataan yang dilaporkan Saudi Press Agency, seperti yang ditukil akhbar The Guardian.

Sebarang Muslim yang berfikir bahawa jihad bermakna menyertai kumpulan pengganas “merupakan golongan yang bodoh dan tersesat,” tambah kumpulan ulama itu.

Kewaspadaan Arab Saudi tentang militan IS kini semakin kuat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Raja Abdullah telah menggesa majlis ulama – badan agama negara itu – supaya bergerak lebih cepat mengutuk pengganasan dan mengurangkan tarikan kepada IS selepas Arab Saudi dan sembilan negara Arab lain menyertai perikatan antarabangsa yang dipimpin Amerika Syarikat untuk memerangi IS di Iraq dan Syria.

Putera Mohammed bin Nayef, Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, digambarkan di Riyadh sebagai penggerak utama di sebalik strategi dengan keselamatan dalam negeri dan dasar serantau diselaraskan dengan lebih berkesan bagi menangani IS.

Februari lalu, Arab Saudi telah memerintahkan hukuman penjara bagi orang yang menyokong pertubuhan pengganas atau membuat perjalanan ke Syria atau Iraq bagi menyertai IS.

Awal September lalu, 88 orang telah diberkas kerana menyokong Al-Qaeda dan pemimpin IS, Abu Bakar al-Bagdadi.

Rakyat Arab Saudi kini membentuk kontinjen kedua terbesar pejuang Arab yang berjuang bersama IS.

Arab Saudi sebelum ini dikejutkan dengan kritikan bahawa negara itu menyokong IS walaupun para pengamat berkata sokongan kewangan yang diberikan Arab Saudi adalah bagi kumpulan Islam yang menentang Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad.

Namun beberapa pihak berkata bantuan itu akhirnya mengalir kepada kumpulan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda dan IS.

Selepas menewaskan Al-Qaeda dalam kempen anti keganasan pada 2004, kerajaan Arab Saudi bimbang dengan kesan rakyat Arab Saudi yang pulang selepas berjuang di Syria dan Iraq.

Sementara itu, Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz al-Asheikh, memberi amaran bahawa musuh Islam kini menggunakan laman web sosial seperti Twitter untuk menyebarkan perkara palsu tentang Islam selain menyerang penganutnya.

Portal berita Arab News melaporkan Sheikh Abdul Aziz meminta penduduk Arab Saudi yang menggunakan Twitter supaya berfikir terlebih dahulu sebelum menyiarkan apa-apa di akaun mereka.

Beliau menggesa penduduk Arab Saudi agar memastikan apa yang disiarkan di akaun mereka akan menjaga kepentingan negara dan tidak memburukkan pemerintah negara ini.

“Mereka yang memburukkan Islam tanpa malu tidak mempunyai sebarang pegangan dan tidak takut kepada Tuhan,” katanya dalam satu rancangan televisyen.

Beliau berkata, Twitter menjadi laman web yang mempromosikan pelbagai jenis “kejahatan dan kerosakan”.

“Penggunaan yang baik adalah apabila orang ramai yang menggunakan laman web itu mendapat faedah, namun sebaliknya mereka menggunakannya bagi perkara bukan-bukan,” jelasnya. – Agensi berita.


“Pengganasan adalah bertentangan dengan tujuan agama Islam, iaitu membawa rahmat di seluruh dunia. Pengganasan tidak ada kaitannya dengan Islam dan merupakan ideologi yang menyimpang.”

– Fatwa kepimpinan kanan ulama Arab Saudi.

 

Source: www.beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *