Khidmat Cemerlang SLTC Mohd Fahmi Aliman Diiktiraf SAF

KESUNGGUHAN dan kecekapan Leftenan-Kolonel Kanan (SLTC) Mohd Fahmi Aliman berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), semasa bertugas baik di dalam mahupun di luar negara, diakui.

Lantaran keberkesanannya memikul pelbagai tugas sepanjang berkhidmat dengan SAF, beliau dianugerahkan Pingat Kepujian oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam Anugerah Hari Kebangsaan.

Sejumlah 81 Pingat Kepujian, 114 Pingat Kecekapan dan 415 Pingat Perkhidmatan Bakti Setia diberikan kepada anggota tentera dan bukan tentera.

Seramai 14 kakitangan menerima kedua-dua Pingat Kepujian/Kecekapan dan Pingat Khidmat Bakti Setia.

Seramai 596 kakitangan Mindef/SAF diiktiraf dalam Anugerah Hari Kebangsaan tahun ini.

Menteri Kedua Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, serta Menteri Negara (Pertahanan), Dr Mohamad Maliki Osman, menghadiri majlis tersebut di Mindef minggu lalu.

Ketika ditemui, SLTC Mohd Fahmi, 42 tahun, berkata beliau berbesar hati sumbangannya diiktiraf.

Beliau menyertai SAF 22 tahun lalu kerana ingin “menyentuh kehidupan orang ramai” dan menyumbang kepada masyarakat.

Dalam tempoh khidmatnya, beliau antara lain mengetuai Batalion Pengawal yang meraih anugerah Unit Infantri Terbaik pada 2009.

Pada 2011, beliau menjadi pegawai SAF Melayu/Islam pertama menjadi Komander Perbarisan Hari Kebangsaan sejak 2000.

Pengalamannya tidak terbatas di dalam negara sahaja.

Beliau dikerah ke Aceh pada 2005 dan Afghanistan pada 2012.

Beliau terlibat dalam pasukan yang menyumbang kepada pelucutan senjata, demobilisasi dan integrasi semula Gerakan Aceh Merdeka (GAM) ke dalam masyarakat Aceh.

Di Afghanistan, beliau bertugas sebagai perancang strategik di Ibu Pejabat Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF).

“Setiap pengalaman yang saya raih mengasah kecekapan saya dan mendorong saya agar terus menyumbang kepada SAF,” ujarnya.

Apabila dikerah ke luar negara, beliau berjauhan daripada keluarga selama enam bulan.

“Cabaran terbesar adalah membahagikan masa antara keluarga dengan kerjaya. Saya bertuah mendapat sokongan keluarga dan isteri penyabar,” ujar bapa empat anak berusia empat hingga 17 tahun itu.

Isterinya, Cik Rohana Salleh, adalah guru sekolah menengah.

SLTC Mohd Fahmi turut dirangsang pasukannya dan berpegang pada tiga ciri ketua yang cemerlang.

“Kepercayaan, kehormatan, serta memperkasakan bakat dalam pasukan penting.

“Di SAF, saya dibimbing oleh pegawai kanan dan diberi peluang mengembangkan kemahiran,” ujar SLTC Mohd Fahmi.

Melalui SAF, beliau diberi peluang melanjutkan pelajaran hingga meraih ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Elektrikal daripada Universiti Liverpool pada 1999.

 

Source: www.beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *