Basuki Tjahaja Purnama: Orang Cina Pertama Menjadi Gabenor Jakarta

Ahli politik lantang Indonesia, Basuki Tjahaja Purnama hari ini mengangkat sumpah sebagai gabenor Jakarta, sekali gus menjadikannya orang Cina pertama memegang jawatan itu.

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan timbalan gabenor dilantik sebagai gabenor selepas presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi (kanan) menang pilihan raya Julai lalu.

Kumpulan garis keras Front Pembela Islam (FPI) menolak pelantikan Basuki kerana didakwa tidak ‘mesra’ terhadap orang Islam di republik itu melalui beberapa perhimpunan jalanan.

Basuki, yang terkenal dengan sikap lantang dan suka berdebat meminta kerajaan membubarkan kumpulan itu dengan mengaitkannya dengan unsur anarki dan keganasan.

Basuki atau lebih dikenali sebagai Ahok pada bulan ini bagaimanapun meminta maaf kepada umat Islam jika kenyataannya itu menyinggung perasaan.

“Saya mohon maaf jika kamu fikir saya kurang ajar,” beliau dipetik sebagai berkata ketika perhimpunan Majlis Ulama Indonesia Indonesia.

Beliau merupakan penganut Kristian kedua dilantik sebagai gabenor Jakarta.

Semasa pemerintahan 32 tahun Suharto (kiri), bangsa Cina menjadi mangsa diskriminasi sosial dan politik.

Dominasi kaum Cina dalam ekonomi sering mencetuskan kemarahan di kalangan segelintir rakyat Indonesia dan menjadikan mereka terdedah kepada serangan semasa pergolakan sosial.

Pengganti Suharto, Bacharuddin Jusuf Habibie membubarkan undang-undang diskriminasi terhadap kaum Cina.

Selain itu, mantan presiden Indonesia Abdurrahman Wahid selepas itu mengisytiharkan Tahun Baru Cina sebagai hari cuti kebangsaan pada tahun 2002.

– dpa

 

Source: www.malaysiakini.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *