Pusat Pendidikan Temasek Ditubuh Di Turkey Bagi Kanak-Kanak Pelarian Syria

SECEBIS sumbangan Singapura dalam bentuk sebuah sekolah kini wujud di Turkey untuk kanak-kanak pelarian Syria.

Diberi nama Pusat Pendidikan Temasek, sekolah yang ditubuhkan hasil sumbangan warga Singapura itu telah dirasmikan minggu lalu di bandar Kilis di tenggara Turkey dekat sempadan Syria.

Pembinaan sekolah itu merupakan sebahagian daripada Projek Bantuan bagi Pelarian Syria di Turkey (Asrit), yang diterajui pusat pendidikan setempat SimplyIslam dan Rangkaian Ekspatriat Muslim (MEX), sebuah divisyen Angkatan Karyawan Islam (AMP), dan disokong pelbagai badan Islam di Singapura, termasuk Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Bangunan sekolah empat tingkat itu telah dibeli pada harga $350,000 hasil sumbangan masyarakat Islam Singapura – antaranya melalui kutipan yang diadakan RLAF.

Sekolah yang mempunyai lima bilik darjah dan sebuah makmal komputer itu boleh menampung 400 pelajar, iaitu di peringkat menengah dan prasekolah.

Sejak beroperasi September lalu, sekolah itu mempunyai sekitar 150 pelajar sejauh ini.

Sekolah itu diiktiraf lembaga pendidikan di Syria, yang bermakna pelajar boleh meneruskan pengajian mereka di institusi di Syria sekembalinya mereka ke sana.

Majlis perasmian sekolah itu pada 9 Disember lalu turut dihadiri Ketua Projek Asrit, Encik Mohamed Nassir Abdul Sukkur; anggota lembaga pengamanah Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), Encik Zainul Abidin Ibrahim; dan Pengarah (Masjid) Muis, Encik Mohamad Helmy Md Isa.

“Pusat itu juga menyediakan tempat selamat bagi kanak-kanak itu berinteraksi, jauh daripada trauma dan pengeboman yang mereka alami, dan yang telah menyebabkan mereka lari dari Syria,” ujar Encik Nassir, yang juga pengarah urusan SimplyIslam.

Encik Zainul pula berkata usaha Asrit dan RLAF tidak akan berhenti dengan perasmian sekolah itu.

“Kami akan membawa belia daripada masjid, madrasah dan institusi pengajian tinggi di Singapura ke sekolah ini untuk pelbagai program, seperti pembinaan perpustakaan yang lebih baik dan program seperti terapi muzik dan terapi seni untuk memberi kekuatan kepada kanak-kanak di sini,” ujar Encik Zainul, yang juga Pengarah Pendekatan Strategik di Muis.

Perpustakaan di sekolah itu sekarang mempunyai buku yang didermakan oleh Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah dan Sekolah Menengah Tampines di Singapura.

Asrit dan RLAF bergabung tenaga dengan Kimse Yok Mu, badan kemanusiaan antarabangsa berpangkalan di Turkey yang berpengalaman mengendalikan sistem persekolahan, bagi penubuhan sekolah tersebut.

Selain itu, Asrit dan RLAF turut memanfaatkan sumbangan warga Singapura bagi membeli barang keperluan untuk pelarian Syria di Kilis dan di Sanliurfa – satu lagi bandar dekat sempadan Syria – serta makanan panas yang disiapkan setiap hari untuk pelarian.

Remaja dari Aleppo, Syria, Hajar Sheikh Muhammad, 17 tahun, meluahkan penghargaannya atas sumbangan rakyat Singapura.

“Kami akan sentiasa terhutang budi kepada anda. Terima kasih Singapura,” ujarnya.

 

Source:http://beritaharian.sg/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *