Tokoh Agama Singapura Ustaz Syed Hamid Syed Ahmad Alkaff Meninggal Dunia

Pemergian tokoh agama mapan serta pembimbing haji dan umrah terkenal, Ustaz Syed Hamid Syed Ahmad Alkaff, merupakan satu kehilangan besar bagi masyarakat Islam Singapura.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, berkata demikian semasa ditemui wartawan di Masjid Sultan.

Jenazah Allahyarham Ustaz Syed Hamid selamat dikebumikan petang tadi, selepas disolatkan di Masjid Sultan tengah hari tadi selepas waktu Zohor.

Dr Yaacob mengambil keputusan untuk memendekkan lawatan rasmi beliau ke Arab Saudi sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham yang merupakan seorang guru agama yang amat disegani ramai.

Anggota keluarga, sahabat handai, dan juga anak murid dan jemaah di bawah bimbingan Allahyarham membanjiri Masjid Sultan bagi menunaikan solat jenazah sejurus selepas waktu Zohor.

“Saya rasa ini satu kehilangan besar bagi masyarakat kita, kerana beliau sudah banyak menyumbang kepada masyarakat kita, dan sudah banyak membimbing anak-anak murid dalam kelas-kelas membimbing dan sebagainya.

“Saya rasa yang lebih penting bagi saya ialah bagaimanana kita boleh gunakan legasi yang ditinggalkan Allahyarham demi kita memupuk generasi baru, dari segi sumbangan mereka dan apa yang mereka boleh lakukan untuk memastikan setiap anak muda kita dapat bimbingan agama sedikit sebanyak,” ujar Dr Yaacob.

Allahyarham juga, selama 35 tahun, menjadi imam dan khatib bagi Masjid Hang Jebat, selain bergiat aktif sebagai pendakwah di Masjid Darussalam dan Masjid Hang Jebat. Beliau sering dijemput menyampaikan ceramah di Malaysia dan Indonesia.

Sebelum menceburi bidang agama, Allahyarham merupakan seorang seniman terkenal dengan nama S Hamid pada 1950-an, dan sering dianggap sebagai antara perintis seni muzik Melayu di Singapura.

Antara lagu-lagu terkenalnya termasuk ‘Cenderawasih’, ‘Laila’ dan ‘Kasih Ibu’. Lagu ‘Cenderawasih’ nyanyian beliau kemudian dinyanyikan ramai penyanyi lain seperti A Halim dan Jamal Abdillah. Sebagai pelakon filem, beliau pernah berlakon di samping P Ramlee dalam filem ‘Bakti’ dan ‘Rachun Dunia’, serta beberapa buah filem Cathay Keris.

Dr Yaacob, yang mengenali Allahyarham dan keluarganya sejak usia kecil lagi, berkata, sikap kesedaran dan keikhlasannya harus dicontohi masyarakat Islam Singapura.

“Saya rasa dari segi kegigihan Allahyarham terus menyumbang, selama 38 tahun di Masjid Hang Jebat, menunjukkan kesedaran dan keikhlasan beliau untuk menyumbang, dan saya rasa itu adalah satu ciri yang kita harus ikuti, dan kalaulah kita buatkan ini salah satu ciri dalam masyarakat kita, saya rasa ini akan terus meningkatkan masyarakat kita,” ujar Dr Yaacob.

Allahyarham meninggalkan lapan anak, 12 cucu dan beberapa orang cicit. Kedua-dua isteri Allahyarham sudah meninggal dunia.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *