Mufti Perlis: Umat Islam Dinasihatkan Supaya Hangan Mainkan Bacaan Ayat Suci Al-Quran Dalam Masjid

KANGAR: Umat Islam dinasihatkan supaya jangan memainkan bacaan ayat suci al-Quran di dalam masjid atau surau seperti sebelum waktu solat.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkata ini kerana Nabi Muhammad SAW sendiri melarang jemaah yang berada di dalam masjid membaca al-Quran dengan suara nyaring, inikan pula jika memainkan bacaan yang bunyinya boleh kedengaran hingga ke luar masjid atau surau.

Beliau menyatakan demikian pada sesi soal jawab program Semarak Dakwah Ehya’ Masjid di Masjid Behor Empiang di Perlis malam tadi.

Beliau berkata Nabi Muhammad melarang membaca al-Quran dengan suara nyaring dalam masjid kerana ia boleh mengganggu tumpuan jemaah lain yang datang ke masjid untuk beribadah.

“Jika memasang kaset bacaan al-Quran sebelum masuk waktu solat seperti solat Subuh, tentu akan menggangu orang lain di persekitaran masjid atau surau, yang mungkin sedang tidur, dan ini dilarang oleh Islam,” ujarnya.

Kepada soalan lain, Datuk Asri berkata umat Islam tidak dilarang untuk berqasidah kerana ia merupakan syair, namun liriknya perlu tidak menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Mengenai penggunaan alat-alat muzik, beliau berkata terdapat khilaf (perbezaan pendapat) dalam perkara tersebut kerana terdapat ulama yang membolehkan dan ada yang tidak membenarkannnya.

Namun bagi beliau secara peribadi, beliau berkata ia boleh digunakan jika tidak membawa kepada keruntuhan akhlak.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *