Base Guitar Yazid Lovehunters Dipamerkan Di Pameran Ole Ole Temasek

Tanpa gitar bes di sisi, Yazid Abu Bakar daripada kumpulan Lovehunters berasa dirinya sekadar seorang biasa.

Namun, vokalis dan pemain gitar bes itu berkata beliau berasa bertenaga sebagai seorang penghibur sejurus memegang gitar bes di atas pentas.

Salah satu gitar bes yang telah menjadi teman Yazid dalam bidang muzik ialah gitar berjenama Fender siri 60th Anniversary Precision Bass Diamond.

Gitar itu kini dipamerkan di pameran Ole Ole Temasek – 50 Tahun Muzik Pop Melayu Singapura sehingga 17 Mei ini di Muzium Negara.

Ia dianjurkan sempena Pesta Warisan Singapura yang menyusur perjalanan muzik Melayu di Singapura – permulaannya, kebangkitannya dan kemunculan kumpulan dan penyanyi hebat yang mewarnai persada muzik Melayu Nusantara dari tahun ’60-an hinggalah sekarang.

Semasa Gah! menemuinya di pameran tersebut, Yazid berkata gitar bes itu eksklusif kerana hanya terdapat 500 gitar jenis itu di seluruh dunia.

Beliau telah membeli gitar itu 10 tahun lalu di Los Angeles pada harga sekitar $3,000.

Justeru, beliau berasa berbesar hati apabila kurator pameran, Art Fazil, menghubungi beliau dan ingin mempamerkan gitar besnya.

“Saya rasa amat dihargai kerana ada juga pameran yang mahu menunjukkan bakat dan barangan pemuzik Melayu Singapura. Ia satu penghormatan yang tidak boleh dibayar dengan wang,” kata Yazid.

Selain gitar yang dipamerkan itu, Yazid juga memiliki satu lagi gitar eksklusif jenis Recken Becker yang telah beliau simpan selama 20 tahun.

Yazid telah menempah gitar berharga sekitar $6,000 itu sendiri dari Los Angeles.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *