Pegawai SCDF Cipta Sejarah Lompat Pangkat Jadi Pegawai Kanan

Timbalan Komander Rota dari Balai Bomba Alexandra, Pegawai waran kanan kedua (WO2) Azharee Arsad, mencipta sejarah mulai 1 Jun ini apabila beliau menjadi pegawai pertama dalam Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang melompat satu pangkat daripada pegawai rendah kepada pangkat pegawai kanan.

WO2 Azharee, 42 tahun, yang sudah 20 tahun berkhidmat, itu seharusnya melalui pangkat pegawai waran kanan pertama sebelum memasuki skim pegawai kanan sebagai Leftenan.

Ketika ditemui semalam Encik Azharee berkata: “Saya bermula dari bawah sebagai anggota bomba berpangkat prebet 20 tahun lalu. Dari situ, saya dinaikkan pangkat kepada koperal, sarjan dan seterusnya.

“Inilah kali pertama saya lompat pangkat. Saya rasa kalau kita kerja dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh dan tidak mengharapkan naik pangkat, insya-Allah rezeki akan ada.”

Beliau merupakan antara 5,300 pegawai Home Team yang menerima kenaikan pangkat dalam satu majlis di Hotel Orchard semalam. Hadir sebagai tetamu terhormat ialah Timbalan Perdana Menteri Encik Teo Chee Hean.

Encik Azharee, yang masih bujang, sebelum ini pernah menerima beberapa anugerah seperti Pingat Kecekapan dan Anugerah Testimoni Pesuruhjaya 2014. Sebagai timbalan komander Rota termasuk menguruskan 35 pegawai dalam.

“Melawan api atau menyelamat rasanya lebih senang daripada menjaga mereka. Ini bukan setakat menjaga malah melatih dan mengajar mereka selain memberikan motivasi,” tambah Encik Azharee yang kini mengikuti kursus Sarjana Muda Sosiologi di SIM.

Di bawah kepimpinan beliau, 12 daripada 35 pegawai bawahannya dinaikkan pangkat tahun lalu.

Menurut seorang jurucakap SCDF, pencapaian ‘lompat pangkat’ daripada pegawai rendah kepada pegawai kanan jarang berlaku.

“Kami mengiktiraf prestasi luar biasa Azharee dan kemampuannya. Dalam usianya yang muda, kami tidak nampak ada keperluan bagi beliau melalui peringkat pegawai waran kanan pertama.

“Ini kerana kami tahu beliau boleh memikul tanggungjawab tambahan,” kata jurucakap berkenaan.

Turut dinaikkan pangkat semalam ialah pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB), Encik Mohd Hamzah Md Yusop, daripada Superintenden (1) kepada Superintenden (1A); pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Cik Siti Chotidjah Mohd Ali, daripada Inspektor Kanan Pusat Pemeriksaan (2) kepada Inspektor (1); dan pegawai Pasukan Khidmat Penjara (SPS), Cik Siti Khadijah Rowtin, daripada Ketua Warder 1 (Pemangku Pegawai Pemulihan) kepada Pegawai Pemulihan 1.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *