$35,000 Anugerah Bagi Pelajar Cemerlang Aljunied

Kegigihan dan kecemerlangan beliau dalam mata pelajaran terserlah apabila Encik Hassanuddin Razali dianugerahkan Biasiswa Syed Abdul Rahman Aljunied yang pertama di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, semalam.

Pelajar berusia 19 tahun itu akan menerima $10,000 setiap tahun selama empat tahun bagi melanjutkan pelajarannya di fakulti syariah di Al-Azhar, Mesir, pada Ogos nanti.

Encik Hassanuddin bukan sahaja pelajar cemerlang malah beliau juga pelajar contoh bagi rakan yang lain.

Ini terbukti selepas beliau mendapat lapan agregat di peperiksaan GCE peringkat ‘O’ dan pernah memenangi anugerah Mendaki dan peraduan Matematik antarabangsa yang dianjurkan oleh Universiti Nebraska dan Persatuan Matematik Amerika.

Beliau menyifatkan kejayaan beliau hasil sokongan semua yang telah membantunya.

“Pengorbanan guru-guru, ibu bapa dan rakan saya adalah faktor utama bagi kejayaan yang telah saya alami ini.

“Saya berharap saya dapat berkhidmat kembali kepada madrasah dan masyarakat di Singapurai,” katanya yang juga pernah menjadi penolong ketua pengawas di madrasah itu.

Encik Hassanuddin juga merancang melanjutkan pelajarannya sejauh mungkin dan ingin menjadi seorang yang berjasa kepada masyarakat.

Empat biasiswa dan anugerah lebih $35,000 telah dianugerahkan kepada 14 pelajar bagi memburu kecemerlangan dalam pelajaran mereka masing-masing.

Anugerah yang julung-julung kali dianugerahkan di Madrasah Aljunied Al-Islamiah itu nerangkumi empat bidang khusus iaitu Anugerah Cemerlang BOG Madrasah Aljunied, Biasiswa Syed Abdul Rahman Aljunied, Biasiswa Sastera dan Bahasa Arab dan Anugerah Perkhidmatan dan Kepimpinan.

Bagi biasiswa, penerima akan menerima antara $5,000 hingga $10,000 setahun selama empat tahun dan ia juga tiada ikatan.

Bagi anugerah pula, setiap penerima boleh menerima sehingga $1,760.

Kesemua 14 pelajar itu menerima biasiswa dan anugerah itu daripada Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram di madrasah itu semalam.

Ketua Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Ustaz Mahmoud Mathlub Sidek, amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah merealisasikan usaha biasiswa ini.

“Pihak madrasah merakamkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan mereka menjayakan usaha biasiswa Syed Abdul Rahman ini, terutama sekali Majlis Ugama Islam (Muis), ibu bapa, para penderma, guru-guru dan jawatankuasa pentadbir madrasah Singapura” ujar beliau.

Beliau juga inginkan anak-anak muda, bukan sahaja di madrasah beliau bahkan di mana-mana, berusaha sejauh mungkin dan berbakti kepada masyarakat.

“Saya inginkan anak-anak ini belajar setinggi langit dan mendapatkan pendidikan sejauh mana mereka mampu agar mereka dapat menyumbang bakti sebagai manusia yang berjasa bukan sahaja untuk masyarakat mereka bahkan untuk negara, bangsa dan juga di peringkat antarabangsa,” katanya.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *