Tambah Rezeki, Serikan Ramadan

Dari sejak sewanya hanya ratusan dolar hingga ia berjumlah ribuan dolar sekarang, keluarga Cik Sabariah A. Razak menyewa gerai Ramadan di tempat sama – berdektan perhentian bas bertentangan pusat beli-belah Tanjong Katong Complex.

Ini kerana sebagai peniaga musiman, Cik Sabariah, 60 tahun, tidak mahu kehilangan pelanggan tetap yang beliau ada setelah saban tahun berniaga di bazar itu, menjaja pisang goreng, keropok lekor, wade dan burger Ramly.

Lokasi gerai mereka juga strategik kerana pelanggan selalunya membeli juadah itu untuk dibawa pulang sebelum bas tiba.

“Walaupun sewa semakin lama semakin naik – dulu paling rendah $800, sekarang paling kurang $13,000 – saya tetap membuka gerai kerana saya suka keriuhan menjual makanan di bazar Ramadan,” ujar beliau.

Anaknya, Hyrul Amirul Hyril Annuar, 18 tahun, yang membantunya dalam perniagaan musiman itu, menambah: “Walaupun harga burger kami naik, bilangan pelanggan lebih kurang masih sama. Saya rasa mereka juga memahami mengapa kami menaikkan harga makanan kami.

“Waktu saya masih kecil, saya masih ingat burger Ramly berharga $2.50. Kini, harganya sudah meningkat kepada $3.50. Tetapi, pelanggan tahu kadar sewa gerai bazar Ramadan sudah meningkat.

“Perniagaan ini bermula ketika ayah saya muda dan saya rasa saya akan mengambil alih perniagaan ini suatu masa nanti,” katanya.

Keuntungan daripada perniagaan itu dapat menokok wang yang diberi anak-anak Cik Sabariah, seorang suri rumah, kepadanya setiap bulan.

Setiap tahun beliau menyimpan sebahagian daripada keuntungan itu bagi membiayai perbelanjaan perniagaan tahun depan.

“Keuntungan yang saya dapat setiap hari dan setiap tahun tidak tetap. Kami hanya tahu jumlah keuntungan pada akhir bazar ini tapi alhamdulillah sepanjang tahuntahun lepas, ada keuntungan yang kami dapat,” kata Cik Sabariah.


Jual kuih dari kampung ke bazar

DAHULU, ibu bapa Encik Muhd Hanafi Mohd Ali menjual kuih Raya di Kampung Melayu Geylang Serai.

Memandangk Kampung Melayu telah dirobohkan, mereka kini menyewa gerai bazar Ramadan berdekatan Stesen MRT Paya Lebar dan menamakan gerai mereka ‘Kuih Orang Kampung’.

Encik Hanafi, 25 tahun, menolong menguruskan perniagaan musiman ibu bapanya di Kampung Melayu Geylang Serai itu sejak 15 tahun lalu.

“Kami menjual kuih Raya di bazar di Geylang Serai setiap tahun dan kami gembira kerana jumlah pelanggan kami semakin lama semakin meningkat,” ujarnya.

Menurut beliau, walaupun sewa gerai meningkat, jumlah pelanggan juga semakin bertambah.

“Tahun lepas, gerai kami terletak di bazar di daerah Kampung Melayu Geylang Serai, sebelum ia dirobohkan.

“Kami memang sudah ada pelanggan tetap dari Kampung Melayu dan apabila kami berpindah ke bazar Ramadan ini, kami berjaya menarik pelanggan baru, oleh itu menambahkan keuntungan gerai kami,” katanya.

Namun, ia adalah perniagaan musiman keluarganya. Bapa Encik Hanafi bekerja sepenuh masa di sebuah syarikat pengimport ubat-ubatan tradisional Melayu, sementara beliau sendiri seorang paramedik di Hospital Besar Singapura (SGH).

“Jualan gerai kuih-muih ini hanya pada bulan Ramadan sahaja,” jelas Encik Hanafi.

Menurutnya, mereka mengamati apa yang dibeli pelanggan setiap tahun untuk melihat trend dan bagi persiapan tahun seterusnya.

“Pada tahun-tahun lepas, kuih tradisional seperti tart nanas dan makmur tidak selaris kuih kukis dan pelbagai jenis kerepek.

“Jadi tahun ini kami menambah bekalan kuih yang popular tahun lalu.” kata Encik Hanafi.


Ghairah cuba nasib di tapak baru

WALAUPUN sudah berniaga baju kurung Melayu di bazar Ramadan di Geylang Serai sejak 2003, pasangan suami isteri Encik Muhammad Hamid Mohammed Omar dan Cik Fatin Amirah Khaled lebih ghairah tahun ini.

Ia kerana kali ini mereka menyewa gerai di bazar berdekatan Stesen MRT Paya Lebar dan tidak dekat Kampung Melayu Geylang Serai yang telah dirobohkan.

Mereka mula berniaga di situ seminggu sebelum Ramadan.

“Ini kali pertama kami menyewa gerai di bazar dekat Stesen MRT Paya Lebar jadi kami ghairah mahu melihat begaimanakah perniagaan kami di sini,” kata Encik Hamid, 32 tahun.

Menurut Cik Fatin, 29 tahun, sewa di gerai itu tidak berbeza daripada di tempat biasa, iaitu kira-kira $6,000.

“Namun, saya rasa tahun ini kami akan mendapat keuntungan yang lebih baik daripada tahun-tahun lalu kerana memandangkan tiada bazar di sekitar Kampung Melayu Geylang Serai, pelanggan tetap kami dan pengunjung lain akan membeli-belah di bazar lain, termasuk di tempat kami sekarang,” ujarnya.

Menurut Encik Hamid, urusan membawa masuk baju kurung pelbagai corak untuk dijual di gerai mereka dijalankan bapanya.

“Ini sebuah perniagaan musiman sahaja. Setiap tahun kami menyewa sebuah gerai di bazar Ramadan. Pekerjaan harian saya ialah sebagai guru tuisyen Matematik bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan GCE peringkat ‘O’,” jelasnya.

“Alhamdulillah pekerjaan saya dan isteri saya sebagai seorang pustakawan serta perniagaan ini cukup untuk kami membiayai perbelanjaan keluarga kami,” tambah Encik Hamid.


“Walaupun sewa semakin lama semakin naik – dulu paling rendah $800, sekarang paling kurang $13,000 – saya tetap membuka gerai kerana saya suka keriuhan menjual makanan di bazar Ramadan.”

– Cik Sabariah A. Razak

“Kami menjual kuih Raya di bazar di Geylang Serai setiap tahun dan kami gembira kerana jumlah pelanggan kami semakin lama semakin meningkat.”

– Encik Muhd Hanafi Mohd Ali

“… Saya rasa tahun ini kami akan mendapat keuntungan yang lebih baik daripada tahun-tahun lalu kerana memandangkan tiada bazar di sekitar Kampung Melayu Geylang Serai, pelanggan tetap kami dan pengunjung lain akan membeli-belah di bazar-bazar lain, termasuk di tempat kami sekarang.”

– Cik Fatin Amirah Khaled

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *