Bekas Pelajar Madrasah Kecapi Ijazah Pujian Kelas Pertama Dalam Bidang Kerja Sosial Di NUS

Daripada madrasah ke menara gading.

Namun bukan itu sahaja, Cik Siti Nur Diyanah Hardy, 23 tahun, kini menempa sejarah sebagai anak Melayu pertama yang lulus daripada jurusan kerja sosial di Universiti Nasional Singapura (NUS) dengan ijazah kepujian kelas pertama.

Cik Diyanah merupakan antara lebih 10,000 lulusan yang akan menerima ijazah mereka dalam majlis konvokesyen di NUS yang berlangsung hari ini hingga Selasa depan.

Majlis konvokesyen bagi fakulti bekas pelajar Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah itu akan berlangsung pada 14 Julai.

Meskipun beliau telah menghabiskan masa 13 tahun belajar di madrasah, Cik Diyanah berkata beliau tidak pernah mengalami kejutan budaya apabila melangkah masuk ke universiti.

“Pastinya kehidupan di universiti baru dan lain bagi saya tetapi saya rasa perkara ini tentu sama bagi ramai pelajar lain, sama ada mereka daripada madrasah atau bukan.

“Semasa saya membesar pun, saya tak fikir apa yang saya lalui di sekolah berbeza daripada pelajar lain di sini. Semakin saya membesar juga dan lebih tahu tentang perbezaan yang ada, saya tak mengalami cabaran masuk universiti,” katanya.

Sepanjang di NUS, Cik Diyanah turut aktif menabur bakti kepada bekas madrasahnya.

Anak kedua daripada empat beradik itu memulakan program Maarif Maths Mentoring tiga tahun lalu bersama temannya bagi membimbing pelajar Madrasah Al-Maarif yang mengalami kesukaran dalam mata pelajaran tersebut.

Program itu telah berkembang kepada 20 mentor kini berbanding enam mentor apabila ia baru dimulakan dan sejauh ini telah membantu sekitar 250 pelajar madrasah itu.

Sikap suka membantu itu juga mungkin antara sebab beliau terdorong menyertai sektor kerja sosial.

Cik Diyanah turut diberi Anugerah Angkatan Karyawan Islam (AMP) yang mengiktiraf pelajar Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS) NUS yang menghasilkan tesis kepujian terbaik berkaitan isu yang relevan kepada masyarakat Melayu/Islam setempat.

Tesisnya meninjau bagaimana individu seperti ustaz atau bomoh menjejas cara orang Melayu yang mengalami isu kesihatan mental mendapatkan bantuan profesional.

“Topik ini menggabungkan minat saya dalam kerja sosial dan pengajian agama.

“Pengalaman ini mendatangkan kepuasan bagi saya dan saya dapat belajar banyak bukan sahaja dengan menulisnya (tesis), malah dengan mendengar sendiri daripada mereka yang mengalami isu kesihatan mental.

“Saya mahu suara mereka didengar menerusi tesis saya… dan saya harap hasil dapatannya akan mendatangkan manfaat kepada masyarakat,” kata anak pasangan guru dan pegawai logistik itu.

Cik Diyanah kini mengikuti program internship dengan Jawatankuasa Singapura bagi sayap wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan antara lain terlibat dalam kempen Girls2Pioneers yang bertujuan menggalak lebih ramai golongan wanita menceburi kerjaya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).

Presiden Tony Tan Keng Yam yang juga Canselor NUS akan merasmikan majlis konvokesyen utama NUS tahun ini di Kampus Kent Ridge hari ini.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *