Apabila Budaya Melayu ‘Ditelan’ Budaya Arab

Baru-baru ini penulis diberitahu sudah sukar bagi wanita Melayu untuk membeli baju kurung di pasaran menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Penulis diberitahu, mereka terpaksa menempah baju kurung di kedai-kedai jahit kerana kebanyakan kedai-kedai sudah tidak menjualnya disebabkan jubah menjadi pilihan ramai pembeli.

Perkara ini tidak memeranjatkan kerana apabila melihat jiran-jiran penulis dan kebanyakan wanita Melayu masa kini, mereka lebih gemar menggunakan jubah berbanding baju kurung.

Apabila pulang ke kampung berhari raya, kebanyakan adik beradik dan saudara mara sudah menggunakan jubah berbanding baju kurung.

Hari ini, jika anda berurusan dengan agensi-agensi kerajaan, baju kurung digunakan lebih ramai wanita bukan Melayu berbanding Melayu.

Kerana kuatnya proses Arabisasi yang melanda pada hari ini, sudah sukar untuk melihat baju kurung teluk belanga, cekak musang, Kedah, Melaka dan Pahang dipakai wanita Melayu. Begitu juga dengan baju kebaya.

Sedikit demi sedikit kebudayaan Melayu runtuh dan digantikan dengan kebudayaan Arab.

Ini kerana, majoriti orang-orang Melayu sudah tidak dapat membezakan lagi di antara Arab dan Islam. Bagi mereka Arab itu Islam dan Islam itu Arab.

Neo Talibanisasi dan Arabisasi

Fenomena ini ditambah lagi dengan pulangnya ramainya pemuda-pemudi Melayu dari Timur Tengah masuk bekerja di jabatan-jabatan kerajaan.

Kalau dahulu golongan ini hanya “bersarang” dalam PAS, kini mereka sudah mendapat tempat di dalam Umno.

Apabila golongan ini mendapat tempat di dalam Umno keadaan menjadi lebih parah kerana parti Melayu itu memerintah kerajaan dan tidak hairanlah mengapa pejabat-pejabat kerajaan kini sudah “bertukar suasana”.

Maka tidak hairanlah hari ini, sudah tidak terlihat perbezaan di antara Umno dengan PAS.

Secara tidak sedar, jenis Islam yang dianuti orang-orang Melayu pada hari ini juga berbeza, lebih keras dan tertutup berbanding generasi terdahulu.

Neo Talibanisasi dicampur dengan Arabisasi melahirkan guru-guru sekolah menghalang pelajar bukan Islam makan dan minum secara terbuka pada bulan Ramadan sehingga menempatkan mereka di dalam tandas.

Lebih ekstrem lagi apabila ada guru sekolah yang menyuruh anak murid bukan Islam minum air kencing sendiri jika haus disebabkan kantin tidak dibuka pada bulan Ramadan.

Sebenarnya Arabisasi dan Neo Talibanisasi merupakan perkara baharu dalam masyarakat Melayu. Semuanya bermula selepas revolusi Islam di Iran pada 1979.

Dasar “eksport revolusi” yang dilancarkan Ayatollah Ruhollah Khomeini untuk menyeru rakyat di negara-negara Islam agar melawan pemerintah zalim menakutkan Arab Saudi.

Ini menyebabkan Arab Saudi melancarkan serangan balas dengan menggunakan wang minyak untuk melakukan penjajahan budaya dan menyebarkan fahaman Wahabi bagi memastikan status quo pemerintahan mereka selamat.

Bezanya dengan penjajahan budaya barat, Arab Saudi hanya menumpukan ke negara-negara majoriti Islam.

Sebab itu di Nusantara ini, selain Malaysia, Indonesia juga mengalami masalah sama. Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) sedar akan permasalahan ini.

Semasa acara pembukaan Munas Ulama Pengurus Besar Nahdlatul Ulama di Masjid Istiqlal Jun lalu, Jokowi mengeluarkan istilah “Islam Nusantara” sebagai jawapan kepada Arabisasi dan Neo Talibanisasi.

“Islam Nusantara adalah Islam yang ramah, tidak radikal, inklusif dan toleran,” kata Jokowi dalam wawancara dengan BBC Indonesia selepas acara tersebut.

Jokowi menekankan Islam di Nusantara tersebar dengan “dengan cara pendekatan budaya, tidak dengan doktrin yang kaku dan keras”.

Islam Nusantara ini didakwahkan dengan melibatkan budaya, melestarikan budaya, menghormati budaya, tidak dengan memusnahkan budaya,” katanya.

Sayangnya di Malaysia pemimpin kita tidak sedar. Mungkin mereka sedar tetapi hanya membiarkannya demi kepentingan undi dan kuasa.

Perlahan-lahan juga bahasa Melayu dijajah bahasa Arab. Sebab itulah pada bulan Ramadan, jelas sekali perubahannya.

Penggantian istilah daripada “buka puasa” kepada “iftar”, “doa” kepada “dua”, “sembahyang” kepada “solat” terlihat dengan begitu jelas.

Malahan sesetengah Melayu menganggap “kurang Islam” jika masih menggunakan “istilah lama”.

Sebab itulah tidak mustahil satu hari nanti, baju kurung dan baju Melayu hanya dapat dilihat di muzium sahaja kerana masyarakat Melayu sudah menganggap memakainya sebagai “kurang Islam”. – 5 Julai, 2015.

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

 

Source: www.themalaysianinsider.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *