Halimah Yacob Akan Bertanding Di Marsiling-Yew Tee GRC

Speaker Parlimen Cik Halimah Yacob akan berpindah ke Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee dan menerajui divisyen Marsiling di kawasan undi baru itu sebagai persiapan bagi pilihan raya umum akan datang.

Pemindahan Cik Halimah, yang sebelum ini memimpin kawasan undi Bukit Batok East dalam GRC Jurong, disahkan oleh pemimpin akar umbi dan aktivis parti kepada Berita Harian (BH).

Menurut salah seorang daripada mereka, yang enggan namanya disiarkan, Cik Halimah telah membuat pengumuman tersebut kepada pemimpin akar umbinya di Bukit Batok.

Cik Halimah juga telah menghadiri acara sambutan Hari Raya Marsiling di Kelab Masyarakat Fuchun hujung minggu lalu. Acara tersebut dihoskan Setiauasaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia) Encik Hawazi Daipi, yang kini memimpin kawasan undi tersebut.

Dalam pada itu, Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong, yang telah menjadi Anggota Parlimen GRC Marine Parade sejak 1976, berkata beliau besar kemungkinan akan bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Dalam catatannya di laman Facebook Marine Parade, beliau turut mendedahkan senarai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam GRC lima-anggota itu yang akan bertanding dalam pilihan raya, termasuk AP Melayu/Islam Profesor Madya Fatimah Lateef.

Sementara itu, di kawasan undi Bukit Batok East, tempat Cik Halimah, dijangka diisi pendatang baru, Cik Rahayu Mahzam, 35 tahun, yang telah meninggalkan jawatannya dalam perkhidmatan awam selaku timbalan pendaftar bersama Mahkamah Syariah.

Sejak kebelakangan ini, beberapa pegawai perkhidmatan awam telah meninggalkan jawatan mereka. Terkini Setiausaha Tetap Kedua (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Chee Hong Tat telah meletakkan jawatan, sekali gus mencetus spekulasi beliau akan ditampilkan dalam pilihan raya akan datang.

Menurut kenyataan Divisyen Perkhidmatan Awam di Pejabat Perdana Menteri semalam, tarikh akhir khidmat Encik Chee dalam perkhidmatan awam ialah pada 11 Ogos. Sebelum ini Encik Chee sering dilihat menghadiri acara kemasyarakatan di GRC Bishan-Toa Payoh.

Dihubungi BH, Encik Chee enggan mengulas spekulasi itu namun berkata beliau berharap dapat diberi peluang untuk berkhidmat.

Sebelum ini, pegawai polis kanan, Encik Melvin Yong, 43 tahun, yang aktif di kawasan undi Punggol North, telah meletak jawatan.

Pegawai perkhidmatan awam dikehendaki meletakkan jawatan sebelum mereka menyertai politik dan lazimnya merupakan muka baru yang diperkenalkan oleh parti politik.

Dalam pada itu, ketika dihubungi, Cik Halimah enggan mengulas meskipun tidak menyangkal berita tersebut.

“Pergerakan calon itu adalah keputusan parti dan sesuatu yang biasa. Di mana saja saya disuruh berkhidmat untuk rakyat, saya akan berusaha sedaya upaya,” ujar beliau.

Cik Halimah, 61 tahun, yang menjadi AP pada 2001, akan menyertai Menteri Kebudayaan, Kemasyarakatan dan Belia, Encik Lawrence Wong, yang telah mengumumkan akan berpindah ke GRC Marsiling-Yew Tee dari GRC West Coast.

GRC tersebut turut merangkumi sebahagian daripada GRC Sembawang dan GRC Chua Chu Kang yang dipimpin Encik Alex Yam dan Encik Ong Teng Koon. Kededuanya telah melahirkan harapan agar dapat terus berkhidmat di kawasan undi masing-masing.

GRC Marsiling-Yew Tee mempuyai sekitar 107,527 pengundi dengan kawasan undi Marsiling didiami sekitar 30,000 penduduk, 27 peratus daripada mereka merupakan penduduk Melayu. Perangkaan itu lebih tinggi daripada purata nasional.

Marsiling juga mempunyai jumlah penduduk berendapatan rendah yang ramai, dengan sekitar 1,000 unit flat sewa dan hampir sepertiga daripada blok di situ merupakan flat tiga bilik.

Pemindahan Cik Halimah ke kawasan undi Marsiling bermakna Encik Hawazi dijangka berundur pada pilihan raya akan datang. Encik Hawazi, 61 tahun, dilantik AP dan berkhidmat di GRC Sembawag sejak 1996.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *