Tiada Wang Hantaran, Sekadar Beberapa Hadiah Selepas Kahwin

Mereka berdua siswazah universiti. Berdasarkan kadar terkini di Singapura, Ustazah Nurul Huda Khamsani, 28 tahun, tergolong di kalangan yang wang hantarannya mungkin antara $8,000 dengan $10,000.

Namun, beliau dan pasangannya, Ustaz Muhammad Zulkifli Fadzil, 27 tahun, memilih untuk tidak mengikut kelaziman apabila mereka bernikah November lalu.

Dalam majlis pernikahan, tiada wang hantaran atau gubahan berdulang-dulang. Yang ada hanya mas kahwin sebentuk cincin emas dan gelang emas pula menjadi hadiah.

Namun, setelah majlis, mereka saling bertukar hadiah secara peribadi dan ini termasuk telekung, sejadah, kasut joging dan kasut khas untuk berbasikal.

“Kami tahu hantaran bukan perkara wajib, oleh itu ia bukan satu keperluan dalam majlis perkahwinan,” ujar Ustazah Nurul Huda.

Daripada berhempas-pulas mengadakan wang hantaran, pasangan lulusan universiti Islam di Timur Tengah itu memilih berpandangan jauh dan mula menabung bagi keperluan lebih penting, seperti perumahan dan pendidikan anak kelak.

“Saya rasa dalam masyarakat hari ini, wang hantaran boleh menjadi satu beban. Orang berfikiran yang mereka mesti ada hantaran dan bertungkus-lumus mengumpulkannya hingga akhirnya ada yang berhutang. Untuk apa?

“Itu yang mahu saya tunjukkan dalam majlis perkahwinan saya, bahawa kita boleh adakan majlis pernikahan sederhana dan tidak perlu belanja besar,” ujar Ustaz Muhammad Zulkifli.

Majlis perkahwinan gabungan pasangan yang kedua-duanya guru Al-Quran dan tuisyen pelajar madrasah itu menelan belanja $14,000.

Kos itu ialah bagi menyewa dua dewan dan bilik persalinan di Masjid An-Nahdhah di Bishan, kerusi meja, tempat duduk pengantin dan jamuan.

“Semasa majlis perkahwinan, dua barang (cincin dan gelang) itu sahaja yang ada. Tidak ada dulang-dulang hantaran atau gubahan,” kata Ustazah Nurul Huda.

Ustaz Muhammad Zulkifli menambah: “Pada pandangan saya, lebih intim jika kita bertukar-tukar hadiah secara peribadi selepas majlis perkahwinan. Ia tidak perlu dipertonton.”

Hadiah yang mereka beri ada kaitan dengan gaya hidup sihat yang mereka amalkan.

“Kami memutuskan hantaran kami ialah hadiah yang perlu dalam kehidupan harian kami. Daripada aspek fizikal, saya berbasikal oleh itu beliau beri saya kasut untuk berbasikal. Beliau pula berlari-lari anak, jadi saya beri beliau kasut joging.

“Sejadah dan telekung pula memenuhi aspek keronian,” kata Ustaz Muhammad Zulkifli.

Menurut Ustazah Nurul Huda, perkahwinan tanpa wang hantaran itu mendapat sokongan ayahnya, Haji Khamsani Karim, 57 tahun, yang memang mengutamakan kesederhanaan dan perkara yang menjadi keperluan.

“Wang hantaran sekadar adat. Walaupun Islam merai adat, jika ia sudah melampau, kita kena kawal dan harus pilih kesederhanaan,” kata Haji Khamsani, bapa tujuh anak yang ahli baca Al-Quran.

Penyanyi Taufik Batisah, 33 tahun, dan isterinya, Cik Sheena Akbal, 31 tahun, juga bernikah April lalu tanpa wang hantaran.

Taufik tidak dapat dihubungi bagi laporan ini, tetapi bapanya, Haji Batisah Haji Ahmad, 61 tahun, mengesahkannya.

Haji Batisah berkata tatkala Taufik berkongsi tentang persiapan bagi majlis perkahwinannya, beliau berkata, “Ayah, hantaran tak ada apa-apa ayah. Tak ada nak letak wang beribu-ribu. Taufik cuma nak buat ‘gini’ ‘gini’ boleh tak?”.

“Saya kata tak ada masalah. Bukan mesti nak tunjuk satu jumlah yang begitu begini. Nak nampakkan yang kita berkedudukan ‘gini’ dan kita mampu. Nak glamor. Tidak! Itu semua tak perlu,” ujar bapa lima anak itu.

Menurut beliau, Taufik memberi isterinya hadiah simbolik yang melahirkan harapannya.

“Antara barang yang disertakan sebagai hadiah sampingan ialah Al-Quran, telekung dan sejadah. Ia bagi mengharapkan agar keluarga yang dibina akan mengikut perintah Tuhan,” ujar Haji Batisah.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *