Yaacob Ibrahim: Melayu/Islam Perlu Tingkat Integrasi Dengan Masyarakat Lain

Masyarakat Melayu/Islam Singapura perlu memanfaatkan kedudukan sebagai kaum minoriti untuk mempertingkat integrasi dengan masyarakat lain dan warga asing dan memajukan negara.

Demikian menurut penasihat Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA), yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, di sesi dialog pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan dengan para pemimpin Melayu/Islam.

Sesi dialog tahunan itu diadakan untuk membincangkan isu-isu berkaitan masyarakat Melayu/Islam, yang disentuh oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada rapat tersebut.

Antara isu utama yang dibangkitkan di sesi tersebut ialah kehidupan masyarakat majmuk di Singapura.

Menurut Dr Yaacob, perubahan kepada corak kehidupan di Singapura kian berubah. Ini menjadi cabaran bagi rakyat Singapura serta masyarakat Melayu/Islam untuk memperkuat semangat berbilang kaum yang kita nikmati pada hari ini.

“Kalau kita boleh memperluaskan apa dinamakan ‘middle ground’ antara kita dengan pendatang, saya rasa itu ialah satu langkah yang lebih baik di mana sekaligus kita memperkayakan pengalaman kita dan juga pengalaman mereka.

“Jadi, bukan mereka harus mengikut kita dan kita mengikut mereka, tetapi kita sama-sama berkongsi dan dengan itu kita mencari, kita mewujudkan hubungan yang baru antara kita dengan pendatang-pendatang yang berbeza kalau dibandingkan 50 tahun lalu,” kata beliau.

Dr Yaacob menyifatkan pengalaman sebagai kaum minoriti di Singapura dapat membantu masyarakat Melayu/Islam untuk lebih memahami warga asing yang datang negara ini.

Beliau menambah bahawa itu juga merupakan salah satu cara untuk masyarakat kita menyumbang ke arah SG100.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *