1,000 Jemaah Haji Dipindahkan Ekoran Kebakaran Di Hotel Mekkah

Sekitar 1,000 jemaah haji dari Asia dipindahkan dari hotel mereka di Makkah, Arab Saudi awal hari ini akibat satu kebakaran yang mencederakan dua orang, menurut agensi pertahanan awam Saudi.

Hotel tersebut dilaporkan terletak dalam kawasan Al-Azizia.

Pasukan bomba menyelamatkan dua jemaah haji yang cedera akibat satu kebakaran di bilik yang terletak di tingkat lapan hotel yang tidak didedahkan namanya, menurut agensi itu lagi.

Lebih 1 juta jemaah haji sudah tiba di Makkah untuk menunaikan ibadah haji tahun ini, yang akan berlangsung pada Selasa depan.

Agensi berkenaan juga tidak mendedahkan kerakyatan jemaah yang terbabit dalam kejadian itu, mahupun apakah punca kebakaran tersebut.

Sepanjang 10 tahun lalu, ibadah haji berjalan lancar tanpa sebarang insiden malang, namun pada Jumaat lalu, sekurang-kurangnya 107 orang, termasuk jemaah dari Asia, terkorban apabila kren pembinaan tumbang di Masjidil Haram.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *