Zakir Naik Punca MB Terengganu Hilang Semua Darjah Kebesaran?

Mungkinkah ‘hadiah’ berupa tiga pulau di Tasik Kenyir yang diberikan kerajaan negeri Terengganu kepada pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik, punca sebenar semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman, dilucutkan?

Akhbar China Press mendakwa demikian dalam laporannya hari ini (27 April), menurut laman Free Malaysia Today.

China Press, yang menukil sumber-sumber tertentu, melaporkan bahawa pemberian ‘hadiah’ yang murah hati oleh Encik Ahmad Razif mungkin membangkitkan kemarahan istana Terengganu.

Menurut laman Free Malaysia Today, Menteri Besar itu menyambut Dr Zakir dengan amat mesra ketika penceramah kontroversil dari India itu mengadakan lawatan ke Malaysia untuk menyampaikan ceramah agama baru-baru ini.

Encik Ahmad Razif juga mengumumkan bahawa kerajaan Terengganu akan memberikan tiga pulau di Tasik Kenyir, yang popular dengan pelancong, kepada Dr Zakir supaya beliau dapat menubuhkan sebuah pusat kajian Islam di rantau ini.

Sementara itu, Encik Ahmad Razif kelihatan tenang ketika mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri Terengganu pagi tadi di Wisma Darul Iman.

Mesyuarat itu berlangsung seperti biasa, di tengah-tengah khabar angin bahawa seorang tokoh politik akan mengambil alih kedudukan Encik Ahmad Razif sebagai Menteri Besar tidak lama lagi.

Bahkan, Bernama melaporkan, beliau kelihatan ceria dan turut menyapa wartawan yang menunggu sejak 8.30 pagi.

Bagaimanapun, Encik Ahmad Razif enggan mengulas mengenai kedudukannya sebagai Menteri Besar setakat ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir itu berkata segala hal berkaitan kedudukannya sebagai menteri besar diserahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada Isnin lalu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin secara mengejut melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Encik Ahmad Razif berkuatkuasa hari Jumaat (22 April).

Datuk Seri Najib dijangka bertemu dengan Sultan Terengganu berhubung isu pelantikan Menteri Besar yang baru, lapor Free Malaysia Today.

Menurut laman itu, dua calon yang berpotensi bagi jawatan itu ialah Anggota Parlimen Telemong, Datuk Rozi Mamat dan AP Permaisuri, Datuk Mohamad Jidin Shafee.

Source: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *