Sengsara Sepasang Pelarian Syria, Namun Masih Dapat Bernikah Di Kem Pelarian

GREECE: Di sebalik penderitaan yang dialami para pelarian Syria di Greece, masih ada relung-relung cahaya yang menyinar.

Pasangan warga Syria, Saher, 27 tahun dan Ruqaiya, 20 tahun, bernikah dalam majlis perkahwinan serba ringkas di kem pelarian Idomeni, berhampiran sempadan Macedonia, di Greece pada 4 Mei lalu, menurut laporan CNN.

Pasangan yang sudah bertunang itu sebenarnya mahu mengadakan majlis perkahwinan mereka di Jerman, di mana saudara-mara dan rakan-rakan mereka kini menetap.

Malangnya, pasangan itu sudah enam minggu tersekat dalam kem pelarian itu, yang menempatkan lebih 10,000 pelarian.

Encik Saher memberitahu CNN dalam bahasa Arab: “Kami memutuskan untuk berkahwin di sini. Sudah takdir kami untuk berkahwin tanpa kehadiran anggota keluarga. Namun, kami tetap gembira.”

CNN melaporkan, pasangan mempelai itu melarikan diri dari Syria, yang bergolak dengan perang, sekitar tiga setengah bulan lalu. Mereka melarikan diri dari Deir Ezzor, di mana pertempuran antara ISIS dan pasukan Syria menyebabkan ratusan mati pada Januari lalu. Keluarga kedua-dua Encik Saher dan Cik Ruqaiya masih kekal di Syria.

Bagaimanapun, yang menarik, meskipun tanpa kehadiran keluarga, pasangan mempelai itu diraikan oleh pelarian lain di kem itu, rakan-rakan dan para relawan Amerika.

Majlis perkahwinan mereka disertakan dengan nyanyian tradisional Syria serta dihiasi tanglung-tanglung plastik. Bahkan, pengantin juga mengenakan baju dress putih serta memegang jambangan bunga ros dan lili.

(Gambar-gambar: Alison Thompson/Facebook)

Menurut CNN lagi, semangat gotong-royong dan persahabatan jelas terserlah di kem pelarian itu.

Dalam pesta selama tiga jam yang diadakan di luar khemah pasangan itu dan dianjurkan secara bersama oleh para pelarian dan relawan, minuman Coca-Cola, manisan Turki, kek perkahwinan berwarna putih dan hidangan makanan Greece yang dimasak seorang doktor Saudi turut dihidangkan.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *