Wanita Melayu Yasmin Harunnarashid Antara Penerima Tauliah Kadet Spesialis SAF

Lebih 1,200 pegawai ditauliahkan sebagai Kadet Spesialis Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) hari ini (26 Mei).

Mereka terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Darat, Laut dan Udara Republik Singapura yang selesai menjalani kursus intensif selama 22 minggu.

Sarjan Ketiga (3SG) Yasmin Harunnarashid, gadis bertubuh kecil yang mampu memandu lori seberat lima tan!

Malah beliau ialah salah seorang daripada hanya dua pegawai wanita yang bertugas sepenuh masa di Unit Khidmat Sokongan Pertempuran, bahagian pengangkutan.

Yasmin berkata kerjaya itu menjadi pilihan kerana minatnya terhadap kenderaan besar.

Ia juga dilihat sebagai satu cara memenuhi impian kedua-dua ibu bapanya.

“Mereka (ibu bapa) menyokong pilihan saya dengan sepenuh hati kerana dahulu, mereka pun mahu menyertai SAF tapi mereka terlepas peluang. Jadi apabila saya berada dalam bidang ini saya harap saya dapat menunaikan impian mereka dan membanggakan mereka,” Yasmin memberitahu BERITAMediacorp.

Berkongsi lebih lanjut mengenai pengalamannya sepanjang latihan, Yasmin berkata beliau tidak pernah diberikan layanan istimewa hanya kerana beliau seorang wanita.

Maka itu beliau tidak pernah menggunakan jantinanya sebagai alasan untuk tidak melakukan tugasan yang sama seperti rakan-rakan lelakinya yang lain, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran fizikal dan mental.

Seorang lagi perajurit berjiwa kental ialah Sarjan Ketiga Muhammad Ihsan Ruzani Mohammad Swandi.

Atas kelakonannya yang cemerlang, beliau diberikan Anugerah Bayonet Emas – satu anugerah berprestij yang diberikan kepada 10 peratus kadet terbaik dalam satu-satu kohort.

Ini katanya hasil tunjuk ajar serta kesabaran komander platun yang memimpinnya sepanjang latihan.

“Apabila kami menjalani latihan di Thailand, saya diberi tugasan sebagai Sarjan Platun. Dan walaupun saya banyak membuat kesilapan, Komander Platun saya tidak putus-putus memberi nasihat kepada saya. Saya amat berterima kasih kepada Komander Platun saya kerana tanpa dia saya tidak akan sampai ke tahap ini dan lulus kursus ini dengan cemerlang,” kata Muhammad Ihsan.

Sarjan Ketiga Ihsan dan Yasmin di kalangan lebih 1,200 Kadet Spesialis yang lulus dalam satu latihan lasak selama lima bulan setengah.

Hadir bagi memeriksa Perbarisan Pentauliahan Kadet Spesialis tadi ialah Panglima Angkatan Tentera, Mejar Jeneral Perry Lim.

Menurutnya para kadet spesialis akan memainkan peranan yang berterusan dalam menjaga keamanan serta keselamatan negara.

Tambah beliau, keupayaan tentera untuk bertindak terhadap sesuatu ancaman bukan hanya terletak pada peralatan ataupun struktur pertempuran.

Ia juga bergantung pada keupayaan, komitmen serta semangat juang para anggotanya.

Maka itu penting untuk mempunyai kepimpinan yang kuat di kalangan semua anggota SAF – tidak kira yang berpangkat tinggi mahupun berpangkat rendah

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *