RRG Lancarkan Aplikasi Baru Demi Bantu Cegah Ideologi Radikal

Satu aplikasi telefon bimbit dilancarkan hari ini (31 Mei) sebagai sebahagian usaha mencegah penyebaran ideologi radikal dalam masyarakat.

Aplikasi oleh Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) itu antara lain membolehkan orang ramai berhubungan secara langsung dengan para kaunselor untuk membincangkan isu-isu atau keprihatinan mengenai fahaman agama yang melampau.

Ia juga mengandungi fungsi FAQ, atau soalan-soalan yang sering ditanya, yang memberi penjelasan tentang topik-topik seperti jihad dan serangan pengganas.

Aplikasi ini dilancarkan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam semasa Retreat RRG ke-12 siang tadi.

Ia turut disertai Setiausaha Parlimen Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin.

Retreat itu membincangkan cara-cara lebih berkesan yang boleh digunakan, terutama sekali dalam proses pemulihan para tahanan dan juga tentang membasmi fahaman ideologi pengganas dalam masyarakat kita.

“Aplikasi ini sangat berguna, khususnya bagi anak-anak muda yang senang sekali dengan penggunaan telefon bimbit, di mana mereka boleh menggunakan aplikasi RRG ini untuk mendapatkan penjelasan dan juga penerangan tentang perkara-perkara yang ada kaitan dengan isu ekstremisme dan juga fahaman ideologi ISIS,” jelas Naib Pengerusi RRG Dr Mohamed Ali

Selain aplikasi RRG, orang ramai juga boleh berhubung dengan RRG melalui saluran Youtube dan laman Facebook mereka.

Menurut Dr Mohamed, Retreat RRG diadakan sepanjang tiga hari, dengan dua program.

“Satu program adalah untuk anggota RRG dan keluarga mereka. Jadi keluarga anggota RRG juga berada dengan mereka di retreat ini,” ujar beliau.

“Dan juga program khas iaitu seminar khusus bagi RRG untuk membincangkan isu-isu yang sangat penting bagi mereka dan melakarkan masa depan mereka dalam membasmi fahaman idealogi radikal di Singapura,” Dr Mohamed Ali memberitahu BERITAMediacorp.

Source: BERITAMediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *