Abang Malaysia Promosi Diri Di Facebook, Cari Jodoh

KUALA LUMPUR: Seorang graduan kejuruteraan Malaysia berusia 25 tahun bertindak berani ‘mempromosi diri’ di Facebook – demi mencari jodoh.

Usaha pemuda bernama Ubaidullah Jaafar itu bagaimanapun menerima sambutan luar biasa – ternyata, beliau kini sudah tidak lagi perlu bersusah payah mencari gadis idaman hatinya.

Status ‘iklan diri’ Encik Ubaidullah tersebut kini menjadi viral di lelaman media sosial, hingga dibanjiri lebih 16,700 komen dan dikongsi lebih 11,260 kali.

Bahkan, jejaka itu ternyata beruntung kerana kebanyakan komen pada statusnya ditulis oleh gadis-gadis muda, lapor laman Astro Awani.

Assalamualaikum.. tak pernah tulis macam ni.. (Seyes malu sesangat) . . .. tapi.. . . Mak ayah da tanya kan.. tak sempat…

Posted by Ubaidullah Jaafar on Tuesday, 14 June 2016

 

“UPDATE SEKALI, BERIBU YANG DATANG”

Meskipun kebanyakan pengguna Facebook yang menulis komen tidak pula secara berterus terang menyatakan hasrat untuk menjadikan Encik Ubaidullah sebagai suami, ramai yang menyebut dan ‘tag’ nama rakan-rakan mereka untuk menyarankan jejaka itu sebagai calon.

Bahkan, seorang pengguna, Al O’sullivan dengan tepat menulis komen: “Untung awak bro. Update sekali, beribu yang datang. Untung.”

Ramai juga netizen yang mengucapkan selamat maju jaya kepada Encik Ubaidullah dan semoga Allah mempermudahkan usahanya dipertemukan jodoh.

Ada pula yang meninggalkan pesanan agar beliau bijak memilih calon isteri, kerana beliau kini mempunyai banyak pilihan, lapor Astro Awani.

MAHU BERNIKAH SEBELUM MENYAMBUNG PENGAJIAN

Jadi, apa yang istimewa pada Encik Ubaidullah hingga statusnya menarik perhatian begitu ramai gadis muda?

Dalam statusnya yang dimuat naik pada 14 Jun itu dan disertakan lima gambar beliau di majlis tamat pengajian universiti dan bersama keluarga, Encik Ubaidullah berkata beliau “malu sangat” kerana “tak pernah tulis macam ini.”

“Tapi… mak ayah dah tanya kan. Tak sempat nak mencari, baru sekarang tersentak,” tulisnya.

Encik Ubaidullah, graduan kejuruteraan elektrikal dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dari Muar, Johor itu berkata beliau ingin bernikah dahulu sebelum menyambung pengajian di peringkat sarjana tahun depan.

Katanya, sebab beliau ingin mendirikan rumah tangga ialah kerana sudah bersedia dan hendak “lengkapkan diri.”

“Impian ini sudah lama dirancang sebenarnya, empat tahun lalu, tapi tak kesampaian lagi, tiada jodoh,” ujarnya.

Encik Ubaidullah menambah beliau “boleh memasak apa sahaja”, pernah belajar agama dari “form 1 hingga form 3 di SMA At-Tanwiriah” dan bersedia bernikah hujung tahun ini atau awal tahun depan.

TAPI ADA KRITERIA GADIS IDAMAN…

Namun, jejaka itu juga mempunyai kriteria sendiri bagi gadis idamannya.

Encik Ubaidullah berkata gadis idamannya berusia antara 18 hingga 24 tahun, dan sebaik-baiknya dari Johor, supaya senang mengunjungi keluarga pada Hari Raya nanti.

“Boleh terima saya, dan sama-sama perbaiki diri ke arah lebih baik. Saya sedia jadi imam awak, saya sedia jumpa mak ayah awak,” tambahnya.

Dalam status terkininya pada 1.52 pagi tadi (17 Jun), Encik Ubaidullah meminta maaf kerana belum membaca dan membalas kesemua komen yang ditulis.

Beliau juga berkata, tidak perlulah berasa malu untuk membuat kebaikan. “Kalau niat kita betul-betul untuk kebaikan, mengapa perlu malu kan? Beranilah untuk mencuba..

“Kalau kena kritik, biarkan, kita mesti anggap itu pun nasihat baik untuk kita. Sekurang-kurangnya kita sudah usaha,” tulisnya.

Encik Ubaidullah juga melahirkan rasa terharu dengan komen-komen yang ditulis dan berharap Allah mempermudahkan usahanya mencari jodoh.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *