Mufti Perak: Haram Beri Zakat Terus Kepada Asnaf

PARIT BUNTAR, Jumaat – Umat Islam diminta tidak membayar zakat secara terus kepada asnaf kerana perbuatan itu hukumnya adalah haram, kata Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk membayar zakat kepada pusat zakat yang dilantik oleh kerajaan di setiap negeri.

“Mengikut hukum syarak, apabila ada satu badan yang telah dilantik kerajaan untuk mengumpul zakat fitrah dan harta, setiap orang wajib mengeluarkan zakat kepada badan tersebut.

“Ini kerana badan itu telah diperintahkan supaya mencari dan mengumpulkan asnaf yang ada untuk disampaikan secara adil hasil zakat itu,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian bantuan Aidilfitri kepada 300 fakir miskin dan sumbangan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) oleh Yayasan Muhibbah Fng Ah Seng di sini, hari ini.

Dr Harussani mengulas berhubung isu viral di Facebook di mana sebanyak 70 peratus orang ramai bersetuju membayar zakat terus kepada asnaf manakala 30 peratus lagi kepada badan pungutan zakat.

Katanya, pembayaran seperti itu hukumnya tidak sah dan dikhuatiri asnaf yang menerima itu layak atau tidak menerima zakat.

“Pendapat seperti ini salah kerana MAIPk memberikan zakat secara adil kepada asnaf yang layak menerima zakat. Pegawai kita masuk kampung untuk mengesan asnaf yang layak menerima zakat dan gaji mereka kita ambil dari bahagian amil dan bukan dari asnaf,” katanya.

 

Source: www.ismaweb.net

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *