Pelakon Adi Putra Dilapor Senyap-Senyap Nikah Lagi

Pelakon kelahiran Singapura yang sudah menebarkan sayapnya di negara jiran sekali lagi terpalit kontroversi baru-baru ini.

Adi Putra, didakwa sudah bernikah kali kedua secara senyap-senyap, lapor laman Astro Gempak.

Perbuatannya itu terdedah setelah gambar yang menunjukkan beliau bersama seorang wanita berpakaian sedondon dalam sekitaran majlis pernikahan tersebar menerusi aplikasi Whatsapp.

Sebelum gambar-gambar itu tersebar, laporan Harian Metro menyatakan pelakon KL Gangster itu didakwa berkahwin kali kedua dengan seorang janda anak satu baru-baru ini.

Perbuatan Adi Putra mengejutkan ramai orang, termasuk isterinya, Aida Yusof, 41 tahun, yang dikatakan tidak mengetahui berita perkahwinan suaminya itu.

Astro Gempak cuba menghubungi Adi Putra namun tidak berhasil.

Menurut laman mStar, Adi Putra membatalkan majlis Aidilfitri bersama kelab peminatnya, yang dijadual hari ini (17 Jul), pada saat-saat akhir.

Beliau memuat naik gambar di laman Instagramnya memohon maaf kerana terpaksa membatalkan perjumpaan tersebut.

“Assalammualaikum wmb. Saya memohon maaf kepada semua hotlovers kerana perjumpaan raya dan ulang tahun hotlovers esok 17 Julai, harus dibatalkan atas sebab-sebab yang tertentu. Saya sekali lagi mohon kemaafan,” katanya dalam laman sosial itu.

Pada bulan Disember 2013, Adi Putra pernah mencetuskan kontroversi setelah beliau dilaporkan mempunyai skandal dengan isteri orang dari Johor sehingga melibatkan laporan polis dan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, menurut laporan mStar.

Namun, kes itu ditutup dan diklasifikasikan sebagai “no further action” atau tiada tindakan lanjut.

Rumah tangga Adi Putra dengan Aida sebelum ini juga pernah berdepan dengan masalah apabila beliau memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur terhadap Aida pada 11 Mei 2012 namun membatalkan hasrat itu kemudiannya.

Pasangan Adi Putra dan Aida sudah bernikah sejak 14 April 2006 namun tidak dikurniakan cahaya mata, tetapi mengambil seorang anak angkat perempuan berusia empat tahun, menurut mStar.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *