Adlin Aman Ramlie: Jangan Tuduh Saya Sebagai Pesalah

Pelakon, pengacara dan pelawak Adlin Aman Ramlie menafikan dirinya ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung penipuan pelaburan hartanah.

Menurut laporan Malaysiakini, Adlin yang berusia 44 tahun percaya diri beliau menjadi mangsa syarikat yang menggunakan singkatan HGR yang dituduh terbabit dalam kes penipuan tersebut.

Beliau juga menafikan dirinya terbabit dalam kekerasan sepanjang tempoh beliau disiasat.

“Saya anggap ia hanya kunjungan hari raya apabila ditahan di rumah pada 2.30 petang pada 20 Julai lalu.”

“Polis menyatakan sebab saya perlu ikut ke Bukit Aman dan Balai Polis Dang Wangi ialah untuk membantu siasatan kes pelaburan haram di bawah seksyen 420.”

“Saya dibebaskan di bawah jaminan polis selepas ditahan dalam tempoh 24 jam dan akan sentiasa tampil memberi kerjasama kepada polis,” kata Adlin dalam laporan Malaysiakini.

Beliau berkata demikian di satu sidang media di Sri Pentas TV3 pada Ahad (24 Julai).

Menurut Malaysikini lagi, pembabitan Adlin dalam syarikat itu hanyalah untuk membuat kemunculan khas apabila tiba sesuatu undangan acara.

“Ya, saya memang kenal beberapa individu yang dinamakan sebagai suspek dari pihak syarikat tetapi saya tidak terbabit dalam sebarang pelaburan yang ia kendalikan.”

“Gaji saya dibayar berdasarkan tugas saya sebagai pakar motivasi atau artis jemputan saja.”

“Kerja itu memang saya buat sebagai bidang profesional di beberapa syarikat pemasaran rangkaian (MLM) yang lain,” tambah beliau.

Sebelum ini, beberapa laporan menyatakan pihak polis menahan seramai 13 individu yang bergelar Datuk Seri dan Datuk yang kini ditahan reman selama 21 hari dalam kes sindiket penipuan itu.

Malaysikini melaporkan Adlin ditahan kerana didakwa menyediakan rumah untuk melindungi dua dalang sindiket itu.

Mengenai perkara itu, Adlin menjelaskan bahawa sidang media itu diadakan bagi menghuraikan kekeliruan mengenai kisah yang dipaparkan menerusi media sosial.

“Tujuan sidang tersebut diadakan bagi memperbetulkan segala cerita mengenai saya yang tidak tepat tetapi telah tersebar dengan meluas di arus media perdana.”

“Jangan letakkan saya sebagai orang di tempat pesalah dan mendahului tugas siasatan polis,” tegas beliau.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *