Mahaguru Tembikar, Iskandar Jalil, Terima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan NTU

Pakar tembikar tersohor Singapura, Iskandar Jalil, yang biasa dan mesra dipanggil ‘Cikgu Iskandar’, kini boleh memakai gelaran ‘Dr Iskandar’ pula!

Ini apabila beliau menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan (D.Litt) dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), sebagai mengiktiraf pencapaiannya dalam seni tembikar dan khidmat cemerlang beliau dalam bidang pendidikan.

Pengiktirafan itu disampaikan pada hari pertama majlis konvokesyen NTU hari ini (25 Jul).

Ini merupakan pengiktirafan tertinggi dan terkini buat pakar seramik itu yang sebelum ini dijulang dengan Pingat Budaya, Bintang Bakti Masyarakat, dan Darjah Matahari Terbit dari Maharaja Jepun.

Iskandar Jalil bersama Duta Jepun ke Singapura, Haruhisa Takeuchi. (Gambar: Loke Kok Fai) 

TEMBIKAR BELIAU DISIMPAN ORANG KENAMAAN

“Ijazah Kehormat ini satu kejutan manis. Saya tidak mengejar anugerah mahupun gelaran. Namun saya tahu dan hargai betapa tingginya pengiktirafan ini. Saya berasa begitu terharu dan rendah diri diberi penganugerahan ini oleh NTU,” kata Dr Iskandar.

Sejak tahun 1970-an, hasil seni Encik Iskandar menyerikan banyak ruang muzium dan awam.

Malah ia turut menjadi pilihan bagi menghiasi ruang orang-orang kenamaan termasuk mantan Presiden Singapura Wee Kim Wee, mantan Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew, Sultan Brunei, mantan Presiden Amerika George Bush, mantan Gabenor Hong Kong dan Koleksi Seni Presiden di Istana Singapura.

Encik Iskandar pernah memupuk ramai bakat seni muda dan sudah berjaya menerusi kegiatan mengajar di pelbagai institusi.

Encik Iskandar juga memainkan peranan penting menubuhkan kemudahan membuat tembikar dan bengkel-bengkel bagi kumpulan-kumpulan seperti Persatuan Paraplegik Singapura, Jalan Bahar Clay Studio dan Pusat Warisan Melayu di Kampong Glam.

SOKONG PARA PELAJAR DALAMI PEMBELAJARAN

Beliau turut menyokong para pelajar dalam pameran-pameran tembikar dan program-program pertukaran budaya di luar negara supaya mereka dapat mendalaminya.

“(Dengan) pengiktirafan ini, boleh saya katakan pemerintah dan institusi pengajian tinggi mengakui bahawa ada peluang, ada masa depan untuk mereka kalau mereka berdedikasi untuk pelajaran,” kata Encik Iskandar.

“Saya juga berasa sangat terdorong kerana ia bermakna institusi-institusi kini menjadi lebih sedar tentang seni tembikar dan perkembangannya. Sungguh meyakinkan untuk mengetahui bahawa akan ada sokongan bagi generasi tembikar seterusnya dan untuk murid-murid saya,” ujar beliau lagi.

Cikgu Iskandar menyertai Maktab Latihan Perguruan (kini NIE) untuk menjadi guru matematik dan sains pada tahun 1960.

Iskandar Jalil. (Gambar: BERITAMediacorp)

Beliau kemudian menjadi antara segelintir sahaja orang yang mendapat bukan satu, tetapi dua Biasiswa Rancangan Colombo.

Bagi biasiswa pertama, beliau mendalami bidang tekstil, dan bagi biasiswa kedua pula Pak Iskandar mendalami kejuruteraan seramik di Jepun. Dari situlah bermulanya perjalanan sepanjang hayat beliau dalam bidang tembikar, pendidikan dan hubungan kebudayaan beliau dengan Jepun.

IJAZAH KONVOKESYEN NTU 2016

Dr Iskandar menjadi antara penerima ulung dalam majlis konvokesyen NTU tahun ini, di mana lebih 9,100 lulusan akan menerima ijazah masing-masing.

Satu tinjauan universiti itu menunjukkan 70 peratus siswazah tahun ini berjaya mendapatkan pekerjaan sebelum tamat pengajian mereka.

Kadar itu sama seperti kohort tamat pengajian tahun lalu tetapi lebih tinggi berbanding kohort dalam tahun sebelumnya.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *