Ibu Dipenjara 8 Tahun, Dera Anak Kandung 4 Tahun Sendiri Hingga Maut

Seorang wanita berusia 34 tahun yang mendera anak lelakinya berusia empat tahun dengan kejam sehingga anaknya maut di hospital beberapa hari kemudian, dipenjara selama lapan tahun pada Jumaat (29 Julai).

Anak Noraidah Mohd Yussof meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian kepalanya termasuk keretakan tempurung kepala dan pendarahan otak.

Satu bedah siasat mendapati tanda-tanda penderaan yang berpanjangan kerana lebih 30 kesan luka pada seluruh badan Mohammad Airyl Amirul Haziq Mohamed Afriff.

Pihak pendakwa meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sekurang-kurangnya 12 tahun ke atas Noraidah, sambil menyifatkan kes tersebut sebagai salah satu kes penderaan anak yang paling menyayat hati.

Pada perbicaraan sebelum ini, Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Noraidah naik berang apabila anaknya yang berusia empat tahun itu tidak tahu menghitung sehingga nombor 18 dalam Bahasa Melayu.

Dia membelasah anaknya, menolak kanak-kanak itu ke lantai dan memijak lutut budak itu.

Kemudian, dia menerkam leher budak lelaki itu, mengangkat dan menahannya pada bahagian tembok. Airyl jatuh ke lantai dan tidak boleh bergerak sama sekali.

Airyl kemudian dibawa ke hospital dan meninggal dunia empat hari kemudian pada 5 Ogos 2014 selepas keluarganya memilih untuk tidak terus menggunakan sistem sokongan hidup.

Pihak pendakwa menolak hujah pihak pembela yang mendakwa wanita itu mengalami kemurungan dan sindrom Asperger.

Meskipun Noraidah tidak didapati mengalami sebarang gangguan mental oleh pakar psikiatrik Institut Kesihatan Mental Dr Subhash Gupta, pihak pembela mengemukakan pakar psikiatrik mereka sendiri, iaitu Dr Tommy Tan yang mendiagnosis wanita itu mengalami kemurungan dan sindrom Asperger.

Semasa menjatuhkan hukuman ke atas Noraidah, Hakim Lee Seiu Kin menerima dapatan Dr Subhash yang mendapati bahawa meskipun Noraidah menunjukkan beberapa aberasi pada tingkah lakunya – termasuk cenderung bertindak terburu-buru, mempunyai tahap toleransi yang rendah terhadap kekecewaan dan sering menyalahkan orang lain – namun ini tidak bermakna dia mengalami sebarang gangguan mental yang ketara.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *