2 Teras Utama Bagi Tangani Gejala Kencing Manis Masyarakat Melayu

Demi memerangi penyakit kencing manis di kalangan masyarakat Melayu, dua teras utama yang perlu dilaksanakan kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Pertama, menghidupkan gaya hidup sihat adalah menerusi senaman.

Kedua, bagaimana masyarakat Melayu boleh menentukan bahawa makanan yang mereka ambil juga sihat.

“Kita tukar apa yang telah kita makan selama ini dengan bahan-bahan lebih sihat
dan juga pemilihan makanan yang lebih sihat,” ujar Dr Yaacob.

Beliau yang juga penasihat Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA), berkata demikian semasa di majlis pelancaran ‘Fiesta Kesihatan: Ayuh Terus Sihat – Katakan Tidak Kepada Kencing Manis’ di Kelab Masyarakat Kolam Ayer hari ini (25 Sep).

KEMPEN ANTI KENCING MANIS DARI OKTOBER 2016-MAC 2017

MESRA akan menerajui satu kempen selama enam bulan di seluruh negara, bagi memerangi penyakit kencing manis di Singapura.

Di bawah kempen itu, pelbagai program akan diadakan di seluruh negara mulai bulan depan hingga Mac 2017.

Ini termasuklah sekitar 50 program-program pemeriksaan kesihatan, senaman, bengkel-bengkel masakan sihat, ceramah-ceramah dan pameran kesihatan serta permainan-permainan interaktif.

Semua usaha ini demi memastikan bahawa lebih ramai penduduk Singapura sedar tentang keadaan kesihatan mereka, cara mengamalkan gaya hidup sihat dan kerap bersenam untuk mencegah penyakit seperti kencing manis.

KERJASAMA DENGAN MASJID & BADAN MELAYU TANGANI KENCING ANIS

Seorang lagi penasihat MESRA, Setiausaha Parlimen Pendidikan merangkap Sosial dan Keluarga, Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim berkata: “Kita harus mengambil peluang ini untuk menepati sasaran kepada masyarakat Melayu/Islam di Singapura kerana kita prihatin tentang kesihatan masyarakat kita.

“Dan ini adalah satu usaha yang bukan sahaja mahu memperluaskan tetapi bekerjasama dengan rakan-rakan kita seperti masjid-masjid dan juga badan-badan Melayu/Islam seperti Jamiyah untuk masing-masing mendekati pihak-pihak berkepentingan.”

Program-program tersebut akan dikendalikan MESRA bersama Jawatankuasa-Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) serta pertubuhan-pertubuhan akar umbi dan masyarakat.

Ia merupakan satu usaha bersama untuk menangani keprihatinan-keprihatinan kesihatan di kalangan masyarakat, menurut Persatuan Rakyat (PA) dalam satu kenyataan.

Kempen itu dilancarkan bersama rakan-rakan masyarakat seperti Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), masjid-masjid, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), Persatuan Kencing Manis Singapura, Jamiyah Singapura, Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Islam (MHPA) dan pertubuhan-pertubuhan akar umbi PA.

96 MAEC, 50 KARNIVAL KESIHATAN

Menurut MESRA, bagi kempen tersebut, pihaknya mengambil pendekatan holistik “Minda, Tubuh dan Rohani” bagi menggalak gaya hidup sihat di kalangan masyarakat.

Menyusuli pelancaran kempen itu, MESRA, bersama kesemua 96 MAEC, akan berganding bahu dengan lebih banyak pertubuhan Melayu/Islam dan masjid untuk menganjurkan sekitar 50 karnival kesihatan dan/atau kegiatan di peringkat Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) dan kawasan undi sehingga Mac 2017 untuk mendampingi penduduk.

Untuk menyokong gaya hidup sihat yang mampan di kalangan penduduk, MESRA menggalak penduduk menubuhkan kumpulan-kumpulan sokongan kecil untuk mengingatkan antara satu sama lain tentang isu-isu kesihatan.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *