Habib Hassan Nama Baru Disenaraikan Dalam Buku 500 Muslim Paling Berpengaruh Di Dunia

Imam Masjid Ba’alwie Habib Hassan al-Attas menjadi nama baru yang disenaraikan dalam buku baru 500 Muslim paling berpengaruh di dunia.

Habib Hassan diiktiraf dalam kategori pendakwah dan panduan rohani.

Beliau digambarkan sebagai tunggak kekuatan dan perpaduan ke arah membina keharmonian agama di Singapura dan Asia Tenggara.

Habib Hassan juga mengutuk pengganasan dan memainkan peranan utama dalam memupuk persefahaman dengan agama-agama lain di Singapura.

Turut disenaraikan dalam buku itu ialah mantan Menteri Negara Kanan Ehwal Luar Zainul Abidin Rasheed yang sekali lagi disenaraikan dalam bidang politik.

Buku ini menyenaraikan 500 orang yang paling berpengaruh dalam dunia Islam.

Mereka dibahagikan kepada beberapa sektor seperti ilmiah, politik, pentadbiran hal ehwal agama, pendakwah dan panduan rohani, kebajikan dan pembangunan, isu-isu sosial, perniagaan, sains dan teknologi, seni dan budaya, Quran, media, selebriti, bintang sukan dan juga pelampau.

Senarai ini diumumkan kepada orang ramai setiap tahun sejak 2009.

Sebelum ini, antara tokoh Singapura yang diiktiraf pada tahun-tahun yang lalu, Dr Yaacob Ibrahim, Menteri Perhubungan dan Penerangan, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dalam bidang pentadbiran dan Iskandar Jalil, pakar tembikar dalam bidang budaya.

Buku itu terbitan Pusat Pengajian Strategik Islam Diraja di Amman, ibu kota Jordan, dengan kerjasama Pusat Putera Alwaleed Bin Talal bagi Persefahaman Muslim-Kristian di Washington DC, Amerika Syarikat.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *