Halimah Yacob: Kemajuan Lembaga Yang Pelbagai Perlu Lebih Pantas

Meskipun kepelbagaian dalam lembaga menunjukkan “tanda-tanda yang menggalakkan” sejak beberapa tahun lalu, rentak kemajuannya perlu lebih meluas dan pantas.

Demikian ditekankan oleh Speaker Parlimen Halimah Yacob di satu acara yang membincangkan tentang kewujudan had bagi kaum wanita di tempat kerja.

Sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp, Cik Halimah yang sudah bertahun-tahun memperjuangkan lebih ramai kaum wanita menyandang jawatan sebagai lembaga eksekutif dalam pertubuhan-pertubuhan, menyedari bahawa rentak kemajuan tidak seperti yang beliau harapkan.

Cik Halimah berharap beliau dapat melihat “perubahan besar berlaku lebih pantas” walaupun beliau menyebut tentang “tanda-tanda perubahan yang menggalakkan” seperti saranan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada bulan lalu bahawa mungkin sekarang adalah masanya untuk menyemak semula kod tadbir urus korporat di negara ini berhubung isu-isu termasuk kepelbagaian lembaga.

Komen-komen Cik Halimah dikeluarkan setelah Jawatankuasa Tindakan Kepelbagaian (DAC) menyatakan dalam satu laporan yang dibentangkan kepada Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Tan Chuan-Jin pada awal bulan ini yang menekankan bahawa perubahan dalam lembaga syarikat-syarikat tempatan perlu dilaksanakan dengan lebih pantas.

JUMLAH WANITA DALAM LEMBAGA MASIH JAUH DI BELAKANG

Menurut laporan tersebut, perwakilan kaum wanita dalam lembaga eksekutif melonjak dari lapan peratus pada tahun 2012 kepada 9.7 peratus menjelang hujung bulan Jun tahun ini.

Perangkaan itu bagaimanapun, masih jauh di belakang negara-negara maju yang lain.

Jawatankuasa tersebut turut memberi amaran, kegagalan untuk terus menerima kepelbagaian lembaga boleh menjejas reputasi Singapura sebagai “hab utama perniagaan dengan tadbir urus yang boleh dicontohi”, sambil menambah keseimbangan jantina dalam lembaga kekal sebagai elemen penting bagi tadbir urus korporat yang lebih baik dan telus.

Cik Halimah berkata kemajuan dalam dunia korporat “perlu” bagi menggambarkan pembangunan masyarakat.

“Ada satu tempoh pada tahun 1980an, di mana pada waktu itu langsung tiada kaum wanita dalam Parlimen. Sekarang, keadaannya seperti tidak dapat kita bayangkan jika tiada wanita dalam Parlimen kerana kami tahu mereka boleh mendatangkan usulan-usulan serta soalan yang bernas,” kata beliau.

“Saya juga gembira bahawa norma-norma masyarakat semakin berubah ke arah memberikan lebih banyak sokongan bagi kaum wanita. Pada awal pelibatan saya dalam politik bertahun-tahun dahulu, soalan yang sering ditanyakan kepada saya ialah ‘siapa yang menjaga anak-anak saya’ dan saya mengingatkan mereka bahawa saya mempunyai seorang suami,” ujar Cik Halimah.

Walau bagaimanapun, terdapat tanda-tanda positif daripada dunia perniagaan. Ketua-ketua eksekutif, bukan sahaja yang di syarikat-syarikat berbilang negara tetapi juga dalam perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana tempatan (SME), menunjukkan kesanggupan mereka memandang serius perkara-perkara seumpama ini, kata beliau.

“DAC berunding dengan banyak syarikat dan itu adalah percubaan untuk mewujudkan momentum dari bawah ke atas,” kata Cik Halimah.

“Saya rasa ia berguna bagi meningkatkan kesedaran, membuatkan orang bercakap tentang isu ini dan untuk syarikat-syarikat meneruskannya.”

MEMECAHKAN BATAS

Di acara semalam (27 Okt), yang dianjurkan oleh BoardAgender dan syarikat broker dan perunding insurans Willis Towers Watson juga menampilkan satu panel yang terdiri daripada para eksekutif kanan untuk membincangkan tentang kekurangan kepelbagaian dan kewujudan had di tempat kerja.

Menurut pengerusi dan pengarah bebas bukan eksekutif Keppel REIT, Dr Chin Wei-Li Audrey Marie, sebahagian kecil kaum wanita yang berkhidmat dalam lembaga mungkin “hanya sementara” dengan kenaikan jumlah para pemimpin perniagaan di Singapura seperti CEO Singtel Chua Sock Koong.

Sekalipun begitu, masih lagi terdapat faktor-faktor seperti norma-norma masyarakat seperti tanggungjawab menjaga anak-anak yang kekal sebagai faktor utama mengapa kaum wanita meninggalkan kerjaya mereka separuh jalan dan gagal sampai ke peringkat tinggi dalam pertubuhan, kata Dr Chin, yang juga berkhidmat sebagai ketua pengarah bebas lembaga Koperatif Insurans NTUC Income Singapore.

“Jika anda tidak ada ramai wanita sebagai CEO, anda tidak akan dapat ramai wanita sebagai anggota lembaga. Isu ini disebabkan oleh kaum wanita yang meninggalkan kerjaya separuh jalan berdasarkan norma-norma masyarakat dan tanggungjawab, namun saya berasa ini hanyalah sementara dengan adanya lebih ramai CEO wanita sekarang,” beliau memberitahu Mediacorp.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *