Nasi Lemak Wak Kentut Antara 40 Nasi Lemak Terbaik Malaysia

KUALA LUMPUR: Nasi Lemak, gabungan citarasa pelbagai kaum, menjadi hidangan yang digemari semua lapisan masyarakat.

Malah, makanan itu turut mendapat tempat di hati pelancong asing.

Namun, Nasi Lemak dari kawasan yang berbeza mempunyai keunikannya tersendiri sama ada dari segi rasa dan cara penyediaannya.

INISIATIF ‘I EAT NASI LEMAK’

Bagi memperkenalkan keunikan itu, FriedChilies mengambil inisiatif memperkenalkan program ‘I Eat Nasi Lemak’ yang mengumpulkan 40 penjual atau pembekal nasi lemak terbaik dari seluruh Malaysia.

Acara yang dianjurkan buat kali ketiga dan bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir 5.00 petang tadi (5 Nov). Pesta nasi lemak itu berjaya menarik kehadiran sekuarng-kurangnya 15,000 penggemar hidangan tersebut ke Pusat Konvensyen TM.

Salah satu perniagaan nasi lemak, Nasi Lemak Angah. (Gambar: FB FriedChilies)

Ketua Pegawai Eksekutif FriedChilies, Mohd Adly Rizal berkata lebih 100 perniagaan nasi lemak dari seluruh negara dinilai sebelum dipilih bagi menyertai acara itu tahun ini.

“Kami mengambil masa tiga bulan mencari dan mencuba nasi lemak untuk dapatkan 40 yang terbaik,” katanya kepada Bernama.

KENTUT BUKAN SEBARANG KENTUT

Encik Mohd Adly berkata antara ‘hero’ nasi lemak yang dibawa khas daripada luar Kuala Lumpur adalah Nasi Lemak Wak Kentut (Kulai), Nasi Lemak Ujong Pasir dari Melaka, Nasi Lemak Habib (Batu Pahat), dan Che Pah Corner.

“Kami menjangkakan lebih 38,000 pinggan nasi lemak termasuk lauk disediakan bagi acara ini,” katanya.

Nasi Lemak Wak Kentut antara gerai yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung dalam program ‘I Eat Nasi Lemak’ itu.

Pengunjung yang beratur panjang untuk mencuba nasi lemak Wak Kentut. (Gambar: FB FriedChilies)

PEMBELI TETAP MAHUKAN ‘KENTUT’

Menurut pengusahanya Suhirah Sabarin, 39 tahun, perniagaan dan nama unik itu diwarisi daripada bapanya yang diberi gelaran Wak Kentut oleh penduduk sekitar Kulai, Johor.

“Kami pernah mahu menukar nama, namun pelanggan tetap kami tidak setuju kerana nama itu sudah sebati dalam ingatan mereka.

“Keistimewaannya adalah nasi lemak itu sendiri diperbuat daripada santan asli yang menjadikannya lebih lemak dan wangi, selain ayam goreng rangup,” katanya.

Ayam goreng di gerai nasi lemak Warung Rindu. (Gambar: FB FriedChilies)

NASI LEMAK BANTU GOLONGAN MISKIN

Bagi pengasas ‘The Nasi Lemak Project’, Mastura M.Rashid, 26 tahun, menjual nasi lemak bukan hanya semata-mata mahu mengaut keuntungan, tetapi beliau turut membantu golongan miskin di bandar memulakan perniagaan mereka.

“Di bawah projek ini, kami menggalakkan pendapatan isi rumah kurang daripada
RM900 (S$290) sebulan mempelajari cara memasak dan berniaga nasi lemak bagi menampung kehidupan daif mereka.

“Kami turut menjalankan perniagaan nasi lemak secara dalam talian, keuntungan itu digunakan dalam kerja-kerja amal membantu gelandangan dengan memberi tuisyen kepada kanak-kanak setinggan dan Projek Perumahan Rakyat,”
katanya.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *