Hasil Bantuan Netizen, Bayi Didodoikan Lagu Nyanyian Mendiang Ibunya

Bayi bernama J.J. ini tidak akan pernah dapat bertemu dengan ibunya, kerana wanita itu meninggal dunia sebaik sahaja dia dilahirkan.

Namun kini, bayi itu dapat didodoikan dan membesar dengan lagu-lagu nyanyian mendiang ibunya.

Ini setelah para netizen di Internet membantu bapa bayi itu, Encik Jared Buhanan-Decker, menukar format lagu-lagu yang dinyanyikan dan dirakamkan isterinya semasa hayatnya, agar ia dapat dimainkan semula, lapor CNN.

Lebih istimewa lagi, salah satunya ialah lagu dodoi yang ditulis mendiang Cik Sharry Buhanan-Decker khas untuk anak mereka yang ketika itu masih dalam kandungan.

Menurut CNN, Cik Sharry meninggal dunia empat bulan lalu setelah melahirkan J.J. menerusi pembedahan Caesarean, akibat embolisme cecair amnion yang berlaku apabila cecair di sekitar janin memasuki saluran darah si ibu.

Cik Sharry Buhanan-Decker. (Gambar: LoveSharred.com)

Suami mendiang, Encik Buhanan-Decker, kemudian secara kebetulan menemui enam rakaman lagu nyanyian Cik Sharry yang ditulis sendiri oleh mendiang, termasuk lagu dodoi untuk anak lelaki mereka.

Malangnya, Encik Buhanan-Decker tidak dapat menukar format lagu-lagu itu untuk memainkannya semula, lapor CNN yang menukil KUTV.

Oleh kerana terdesak dan ingin sekali mendengar semula suara nyanyian isteri tercinta, beliau ke laman Reddit dan meminta bantuan para netizen di sana.

Dalam beberapa jam sahaja, menurut CNN, puluhan orang menawarkan bantuan mereka, dan akhirnya, Encik Buhanan-Decker dapat sekali lagi mendengar nyanyian mendiang isterinya.

Lebih menyayat hati, lirik lagu itu seolah-olah merupakan mesej wanita itu kepada suami dan anak mereka.

Ia berbunyi “Baby, jangan risau/Saya okey, saya baik-baik sahaja,” kata Encik Buhanan-Decker, yang menulis tentang kehidupannya bersama J.J. setelah kematian isterinya di sebuah blog, Love Sharred.

“Saya rasa (lagu-lagu) itu sedikit sebanyak memberi kesan kepadanya (bayinya), mendengar suara ibunya,” katanya kepada KUTV.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *