Trump Seru Henti Ganggu Golongan Minoriti, Umum Tidak Akan Terima Gaji Presiden

Donald Trump dalam wawancara televisyennya yang pertama sebagai bakal Presiden cuba menenangkan rakyat Amerika yang bimbang beliau akan mengambil tindakan terhadap masyarakat minoriti.

Pada masa yang sama, Encik Trump memberi jaminan kepada para penyokongnya bahawa beliau tidak akan mengecewakan mereka dalam hal hak menggunakan senjata api, menggugurkan bayi atau imigresen.

Bakal Presiden Amerika Syarikat itu – yang kemenangan mengejutnya dalam pilihan raya mencetuskan bantahan selama berhari-hari – memberitahu para penunjuk perasaan bahawa mereka tidak ada sebab untuk bimbang tentang tempoh beliau sebagai pemimpin negara itu.

“Jangan takut. Kami akan mengembalikan negara kami,” katanya dalam wawancara bersama rancangan ’60 Minutes’ di CBS.

TRUMP “SEDIH” MINORITI JADI SASARAN

Encik Trump berkata beliau “sedih” dengan laporan-laporan bahawa insiden-insiden mengganggu dan menakut-nakutkan masyarakat minoriti melonjak sejak beliau dipilih sebagai presiden – dan menyeru agar ia dihentikan.

“Saya tidak suka mendengar tentangnya. Saya sangat sedih mendengarnya. Jika ini membantu, saya akan katakannya, dan saya akan katakannya kepada kamera: Hentikannya,” kata Encik Trump apabila ditanya tentang lapoan-laporan tersebut.

Jutaan orang dijangka menonton ’60 Minutes’ untuk mendapat tahu bagaimana hartawan itu akan mentadbir negara, dan sejauh manakah beliau berniat untuk menukar slogan-slogan kempennya menjadi dasar negara.

Encik Trump memberi isyarat jelas tentang beberapa isu kepada para pengundinya.

Beliau mengesahkan rancangan untuk secara agresif menghantar pulang atau memenjarakan sehingga tiga juta pendatang haram – mereka yang mempunyai rekod jenayah.

Encik Trump juga berdiri teguh dengan ikrarnya untuk membina tembok di sempadan Mexico.

Beliau juga memberi isyarat tidak akan cuba mengubah undang-undang yang membolehkan perkahwinan sama jenis di Amerika Syarikat.

Encik Trump turut berkata beliau tidak akan menerima gaji AS$400,000 (S$566,000) yang diberikan kepada presiden Amerika Syarikat.

“Saya tidak akan ambil gaji ini. Saya rasa menurut undang-undang, saya harus ambil AS$1, jadi saya akan ambil AS$1 setiap tahun,” katanya.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *