Gara-Gara Mahu Hidup Mewah Bergaya, 2 Sahabat Mungkin Mati Digantung

Dua sahabat yang ingin menjalani kehidupan mewah dan bergaya pada usia muda sanggup mengambil risiko dengan mengedar dadah di sekitar Besut.

Bagaimanapun, aktiviti yang didalangi seorang mekanik berumur 23 tahun bersama rakannya yang merupakan seorang penggangur berumur 18 tahun tidak bertahan lama selepas kedua-duanya diberkas polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Pelagat, Besut, Isnin lalu (28 Nov).

Ketua Polis Terengganu Rosli Ab Rahman berkata hasil serbuan kira-kira pukul 2.00 petang itu, polis menjumpai 670 biji pil kuda, 10 biji pil eramin 5, 1.25 gram syabu dan sebiji pil ecstacy yang bernilai kira-kira RM7,230 (S$2,300).

Katanya dadah itu disorokkan di dalam sebuah kotak di bahagian bawah almari di rumah berkenaan.

“Mereka didapati aktif dalam kegiatan pengedaran di sekitar Jerteh. Mereka tidak terlibat dalam penagihan sebaliknya hanya menjual dadah bagi memenuhi gaya hidup mewah,” katanya kepada watawan hari ini.

Sebuah motosikal jenis EX-5 dan sebuah motosikal Yamaha 125z yang dianggarkan bernilai RM13,000 (S$4,150) turut disita dalam serbuan itu.

“Kedua-dua mereka direman sehingga 4 Disember mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,”katanya.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *