Peniaga East Village Promosi Kedai Dan Barang Jualan Satu Sama Lain

Apakah yang boleh dilakukan para peniaga runcit di pusat beli-belah, untuk terus bertahan dalam sekitaran ekonomi yang mencabar sekarang ini?

Bagi sekitar 70 peratus peruncit di pusat beli-belah East Village, mereka saling mempromosikan kedai dan barang jualan antara satu sama lain.

BERITAMediacorp mendapati bahawa pelbagai lagi strategi gotong-royong dilaksanakan para peruncit di East Village demi terus merancakkan perniagaan mereka.

Sebanyak 100 kedai ditempatkan di pusat beli-belah yang terletak di Simpang Bedok itu, dan sekitar 80 peratus dimiliki peniaga Melayu/Islam.

Malah, ia semakin dikenali sebagai pusat sehenti bagi karyawan wanita Muslim.

SEMANGAT KAMPUNG KIAN RANCAK

Tinjauan BERITAMediacorp menunjukkan, semangat kampung di salah satu hab perniagaan itu semakin rancak. Pihak kami diberitahu, langkah para peruncit di situ mempromosikan perniagaan satu sama lain, semakin membuahkan hasil ekonomi.

Pemilik Balqis the Bistro, Junainah Jumari, berkata: “Kami adakan Jualan Kilat, kolaborasi oleh 70 peratus peniaga-peniaga di sini sepanjang bulan Disember. Itu untuk menyegarkan dan untuk menarik lebih ramai orang datang ke sini, sebab kebelakangan ini agak sunyi sekali di sini.”

Apabila tiga jenama makanan dan minuman (F&B) besar di East Village gulung tikar, ia ternyata memberi peluang kepada peniaga-peniaga baru berjinak-jinak dengan perniagaan runcit.

Antara muka baru adalah peniaga generasi kedua, Muhammad Abdul Kadir, yang gigih memikirkan strategi gotong-royong untuk saling memakmurkan perniagaan di situ.

Pemilik bersama Et Taher itu berkata: “Kalau pelanggan beli barang dengan saya, belanja berapa jumlah, mereka akan dapat baucar dari Karva. Kalau mereka belanja dengan saya, boleh dapat potongan 10 peratus di Balqis. Jadi kita sama-sama maju.”

Setiap peniaga di East Village mempunyai pelanggan tetap masing-masing menerusi promosi di lelaman sosial.

Cik Junainah berkata: “Dalam keadaan ekonomi yang lembab ini, di Balqis sendiri saya lebih tumpukan pada khidmat penghantaran dan juga kami sedang berusaha untuk menjual produk beku. Kunafa beku.”

Encik Muhammad pula berkata: “Sewaktu jualan murah itu juga, ramai yang cakap, oh mereka kali pertama. Tidak tahu di dalam sini ada ramai peniaga Melayu.”

PUSAT SEHENTI BAGI KARYAWAN WANITA

Dengan bertambahnya jumlah berbagai butik fesyen Muslimah, tudung eksklusif, spa, salon rambut, minyak wangi, kedai buku pendidikan awal kanak-kanak dan sebagainya, East Village kini menempah nama sebagai pusat sehenti bagi karyawan wanita.

Sambil berbelanja, mereka boleh memanjakan diri di spa dan menjamu selera dengan pelbagai kafe dan restoran di bawah satu bumbung.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *