Fattah Amin Akui Jumpa Keluarga Neelofa; Kedua-Dua Keluarga “Lofattah” Saling Berkenalan

Sedang ramai masih berteka-teki status hubungan cinta, pelakon Fattah Amin mengakui sudah berjumpa dengan keluarga Neelofa meminta restu untuk berkawan lebih rapat.

“Ada memang ada [jumpa keluarga]. Perkara macam ini kita tidak tahu lagi. Jodoh itu di tangan Allah, kita boleh merancang sahaja,” katanya ketika ditemui Malay Mail Online di Anugerah Melodi 2016, Sabtu lalu (10 Dis).

“Kalau nak berkawan rapat dengan seorang perempuan, mestilah kena jumpa minta kebenaran keluarga.”

Sebagai seorang lelaki, Abdul Fattah Mohd Amin, 26 tahun, berkata dirinya akan meminta kebenaran daripada keluarga pihak perempuan terlebih dahulu untuk berkawan secara terbuka.

“Saya seorang lelaki yang kalau hendak berkawan dengan perempuan dan ketara nampak di tempat awam, saya pastinya akan minta restu keluarga,” katanya yang juga mengakui bahawa kedua-kedua keluarga juga sudah saling berkenalan, menurut laporan Malay Mail Online.

Fattah dan Neelofa mendapat jolokan nama “Lofattah” oleh peminat selepas gandingan mereka dalam drama “Suri Hati Mr Pilot” menjadi satu fenomena.

Kelihatan intim dalam gambar dan video di akaun Instagram masing-masing, tiada sebarang pengakuan atau penafian dibuat mengenai soal hati.

Sementara itu, laporan Malay Mail Online menambah Neelofa yang menang Personaliti Pengacaraan ketika ditemui di majlis sama menyatakan kesediaan menamatkan zaman bujang.

Namun pengacara MeleTOP itu mahu berhati-hati memilih calon pasangan hidup yang sesuai.

“Saya pun dah 27 tahun. Saya rasa saya perlukan masa dan ruang bernafas juga untuk buat pilihan terbaik untuk masa depan saya,” katanya kepada Malay Mail Online.

“Tapi [soal kahwin] sensitif sangat hendak cerita sebab ia melibatkan keluarga saya dan melibatkan orang lain juga. Saya tak nak sakitkan hati sesiapa.

“Sekarang saya pun tak tahu siapa jodoh saya. Untuk sekarang saya berkawan dan pilihan masih terbuka dan biarlah ia berjalan seperti biasa,” katanya.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *