350 Orang Berjaya Dipindahkan Dari Aleppo; Sedang PBB Bersiap Sedia Hantar Pasukan Pemerhati

Sekitar 350 orang masih berjaya meninggalkan bandar Aleppo pada Ahad (18 Dis), kata seorang pegawai perubatan.

Ini meskipun pemindahan para penduduk dan pemberontak di bandar itu ditangguhkan secara rasmi.

Berpuluh-puluh bas sudah memasuki Aleppo semalam bagi menyambung semula pemindahan, tetapi rancangan berkenaan dibatalkan pada saat-saat akhir selepas kenderaan-kenderaan yang digunakan bagi dua buah kampung lain diserang.

Perkembangan ini dilaporkan sedang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersiap sedia untuk mengundi bagi menghantar para pemerhati ke Aleppo.

“Lima bas membawa para penduduk yang dipindahkan dari bahagian timur Aleppo,” kata Ahmad al-Dbis, yang menerajui pasukan doktor dan relawan yang menyelaras pemindahan ke Khan al-Assal. Dari situ, mereka yang dipindahkan boleh ke bahagian-bahagian lain Aleppo dan wilayah Idlib.

Badan pemerhati, Syrian Observatory for Human Rights, menyatakan 350 orang itu dapat dipindahkan selepas Rusia dan Turki menggesa rejim Syria supaya membenarkan konvoi bas itu untuk meneruskan perjalanannya.

Pemindahan digantung pada Jumaat (16 Dis), sehari selepas konvoi-konvoi itu mula meninggalkan Aleppo di bawah satu perjanjian yang membenarkan rejim Syria mendapat kuasa penuh ke atas Aleppo.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *