Mufti Dr Fatris, MUIS Ucap Selamat Hari Krismas Kepada Masyarakat Kristian Singapura

Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram dan Ketua Eksekutif MUIS, Abdul Razak Maricar, bagi pihak masyarakat Islam tempatan, hari ini mengutuskan ucapan Selamat Hari Krismas dan tahun baru 2017 kepada masyarakat Kristian Singapura.

Ucapan tersebut disampaikan dalam surat berasingan kepada dua pemimpin Kristian yang berpengaruh di negara ini iaitu Presiden Majlis Gereja Kebangsaan Singapura, Uskup Rennis Ponniah, dan Ketua Bishop Roman Katolik Singapura, William Goh Seng Chye.

Dalam surat tersebut, Mufti Fatris dan Encik Abdul Razak menzahirkan rasa bersyukur di atas anugerah keamanan, kemakmuran dan persahabatan kukuh dengan semua agama di Singapura, terutama sekali dengan masyarakat Kristian negara ini.

Mereka menambah, sekarang ini merupakan masa-masa sukar bagi banyak masyarakat di merata dunia, seperti serangan “tidak berperikemanusiaan” ke atas Pasar Berlin, yang membunuh 12 orang dan mencederakan 48 yang lain.

Lantaran itu, Mufti Fatris dan Encik Abdul Razak menekankan perlunya ikatan dan persahabatan yang ada diperkuat, dan masyarakat memperdalam kefahaman antara satu sama lain serta membina satu budaya kerjasama.

Masyarakat Muslim Singapura tegas kedua-dua mereka, komited untuk berdiri bahu membahu dengan penganut agama lain, dalam menawarkan peranan positif yang boleh dimainkan oleh agama.

Ini, demi membina sebuah Singapura yang sepadu dan dan makmur demi manfaat generasi masa depan, kata Mufti Fatris dan Encik Razak.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *