Kuota Haji Indonesia Bertambah Lebih 40,000, M’sia Bertambah Sekitar 5,500 Tahun Ini

Arab Saudi bersetuju memberi kuota haji tambahan kepada Indonesia dengan peningkatan sebanyak lebih 40,000 jemaah haji tahun ini.

Presiden Joko Widodo dalam satu sidang media khas hari ini (11 Jan) berkata, dengan itu, jumlah bakal jemaah haji Indonesia pada tahun ini ialah sebanyak 221,000 orang berbanding 168,800 tahun sebelumnya.

Keputusan memberi kuota tambahan itu kata Presiden Jokowi, disampaikan dalam satu perjumpaan khas antara wakil kerajaan Arab Saudi dengan Menteri Agama Indonesia pada minggu lepas.

INDONESIA DAPAT KUOTA KHAS 10,000

“Kerajaan Arab Saudi bersetuju untuk mengembalikan kuota sebanyak 211,000 jemaah kepada Indonesia dan kemudiannya memberi kuota khas sebanyak 10,000 lagi tambahan jemaah untuk tahun ini,” kata beliau seperti disiarkan secara langsung dalam berita televisyen tempatan.

Sejak 2013 kerajaan Arab Saudi memotong hampir separuh kuota jemaah haji Indonesia atas alasan mengurangkan jemaah dari seluruh dunia ekoran kerja-kerja menaik taraf Masjidil Haram di Makkah.

M’SIA GAGAL DAPATKAN KUOTA BARU 30,000

Kuota jemaah haji Malaysia pula dikembalikan kepada jumlah asal iaitu 27,800 orang untuk tahun ini, berbanding 22,320 orang sebelum ini.

Demikian dedah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam (10 Jan).

Beliau berkata kerajaan Arab Saudi mengembalikan kuota berkenaan selepas menarik balik pengurangan kuota jemaah haji sebanyak 20 peratus yang dikuatkuasakan pada 2013 terhadap jemaah asing.

“Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana mengembalikan kuota asal jemaah haji tersebut,” kata Datuk Seri Jamil.

Beliau menambah, kerajaan Malaysia memohon kuota 30,000 jemaah tetapi kerajaan Arab Saudi memberi jumlah kuota asal iaitu 27,800 orang.

Source: beritamediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *