Ambeng Cafe Antara Empat Tempat Makanan Yang Digantung Lesen Kerana Gagal Pastikan Premis Bebas Lipas

Empat tempat makanan, termasuk Ambeng Cafe By Ummi Abdullah, menerima notis penggantungan lesen hari ini (10 Feb) kerana gagal memastikan premis masing-masing bebas lipas.

Keempat-empat tempat makanan itu juga menerima notis dari Penguasa Sekitaran Kebangsaan (NEA) itu kerana gagal mendaftarkan pembantu-pembantu kedai mereka.

Menurut notis penggantungan lesen yang dimuat naik ke laman NEA, lesen Ambeng Cafe akan digantung dari Isnin depan (13 Feb) hingga 26 Februari.

Restoran itu, menurut NEA, sudah mendapat 12 mata demerit sepanjang 12 bulan lepas.

Selain Ambeng Cafe By Ummi Abdullah di East Village di kawasan Simpang Bedok, tiga lagi tempat makanan yang mendapat notis itu adalah:

  • Gerai Makanan Nombor 18 di Kopitiam di Pusat Beli-Belah Jurong Point
  • Gerai Nombor 2 di 536A Upper Serangoon Road
  • Gerai Nombor 2 di Blk 866A Tampines Street 83, Tampines Central Community Complex

Operasi keempat-empat tempat makanan itu akan digantung selama dua minggu dan masing-masing didenda S$800.

“Demi memastikan piawai tinggi kebersihan makanan dikekalkan di semua tempat makanan, kami juga ingin menasihati orang ramai yang melihat amalan kebersihan yang rendah di tempat-tempat makanan supaya jangan mengunjungi cawangan seperti itu tetapi sebaliknya, menghubungi Pusat Hubungan NEA 24-jam kami di 1800 – CALL NEA (1800 – 2255632) dengan butirannya agar kami dapat menjalankan siasatan susulan,” menurut NEA.

SEBUAH RESTORAN DI TERMINAL 2 DIDAPATI JUAL MAKANAN TIDAK BERSIH

Sementara itu, secara berasingan, sebuah restoran di Lapangan Terbang Changi Terminal 2 akan ditutup selama dua minggu mulai Isnin depan (13 Feb) setelah didapati menjual makanan yang tidak bersih.

Dalam notis penggantungan operasi yang dimuat naik ke lamannya hari ini, NEA menyatakan bahawa Chutney Mary Indian Fast Food di Terminal 2 sudah mendapat 12 mata demerit sepanjang 12 bulan lepas kerana gagal mendaftarkan seorang pembantu kedai, dan kerana menjual makanan yang tidak bersih.

Restoran itu juga didenda S$800 atas kedua-dua kesalahan itu dan lesennya akan digantung dari 13 hingga 26 Februari.

Menurut NEA, mana-mana pemegang lesen makanan yang mendapat 12 mata demerit atau lebih dalam tempoh 12 bulan, lesen mereka boleh digantung selama dua atau empat minggu, atau ditarik balik.

Semua pengendali makanan yang bekerja di premis yang digantung lesennya juga akan dikehendaki menjalani dan lulus Kursus Kebersihan Makanan Asas sekali lagi, sebelum dapat terus bekerja sebagai pengendali makanan.

Agensi itu menyatakan: “NEA mengambil serius kesalahan-kesalahan ini dan ingin mengingatkan para pengendali tempat makanan supaya mengamalkan kebersihan makanan dan peribadi yang baik setiap masa, dan hanya mengambil pengendali makanan yang berdaftar.

“NEA tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang didapati melanggar Akta Kesihatan Awam Sekitaran.”

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *