“Saya percaya Israel dan Si­ngapura adalah keluarga sejati di mana kedua-duanya adalah negara kecil tetapi hari ini menjadi begitu berpengaruh sekali”, tambah Netanyahu dan mengungkit kembali bagaimana Israel telah membantu Singapura membentuk angkatan tentera republik itu.

Memang tidak dapat dinafikan Angkatan Tentera Singapura (SAF) pada hari ini adalah antara organisasi tentera yang mempunyai aset ketenteraan tercanggih jika dibandingkan dengan negara jiran. Jika peruntukan pertahanan Israel secara nisbah per kapita adalah tertinggi di dunia, Singapura pula berada pada kedudukan kedua. Tetapi jika jumlah jet pejuang dibandingkan dengan nisbah keluasan kawasan operasi, maka Singapura berada pada kedudukan teratas mana­kala Israel pula berada pada tangga kedua. Begitulah betapa rapatnya persamaan sistem pertahanan kedua-dua negara itu.

Begitulah akrabnya Israel dan Singapura bagaikan keluarga sejati ini dan seperti yang ditegaskan Netanyahu pada ketika ini terdapat 150 projek usahasama di antara kedua-dua negara kecil ini yang banyak berkisar kepada teknologi kemajuan tertinggi dan inovasi.

Tetapi perlu ditekankan walaupun kedua-dua negara ini menghadapi tekanan yang le­bih kurang selari, tingkah laku Singapura adalah jauh berbeza berban­ding Israel. Walaupun republik itu terkenal dengan sikap berwaspada dengan setiap niat jiran terdekat atau lebih dikenali sebagai kiasu, sikap sebegini walaupun sekali sekala agak melampau, ia tidak menjejaskan hubung­an dengan negara serantau.

Berbeza dengan sikap Israel yang tebal dengan fahaman Zio­nis, hanya mementingkan diri sendiri dan sanggup merampas hak orang lain dan mengaku pula itu adalah milik mereka. Penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang menempatkan lebih dari 600,000 rakyat Israel di bumi Pa­lestin adalah manifestasi jelas sikap dan amalan pemimpin Israel.

Sebab itu jugalah lebih dari enam dekad kemelut Palestin-Israel yang melibatkan Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan­ Baitulmaqdis Timur yang ­keluas­annya jauh lebih kecil dari Si­ngapura, tidak pernah ­menemui kedamaian kerana sikap Israel yang begitu angkuh dan memen­tingkan diri sendiri.

Ketika Netanyahu melawat Washington pada 15 Februari lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump menegaskan beliau menerima apa sahaja strategi proses perdamaian Palestin-Israel sama ada penyelesaian satu negara atau dua negara. Mendengar penjelasan tersebut, Netanyahu yang ber­ada di sebelah Trump, terse­nyum lebar kerana itu adalah isyarat dari Washington yang memberi lampu hijau kepada Tel Aviv untuk me­lakukan apa sahaja apabila berhadapan dengan Palestin.

Sebagai perantara, Washington sering dituduh mengamalkan sikap menguntungkan Israel tetapi hakikatnya adalah strategi penyelesaian dua negara adalah dasar luar AS sejak lima dekad lepas dan nampak gayanya diubah oleh Trump. Agak pasti Trump akur dengan kesan daripada ke­nyataan tersebut kerana jika dikaitkan dengan janji beliau untuk memindahkan pejabat kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, maka sudah dapat dipastikan hala tuju pentadbiran Trump.

Masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpegang kepada penyelesaian dua negara kerana ia akan memastikan kewujudan dan hak rakyat Palestin terjamin. Penyelesaian satu negara menjadi idaman Tel Aviv kerana melalui strategi ini, Israel akan memperoleh manfaat paling maksimum.

Tetapi agak memeranjatkan kerana ketika sidang akhbar secara bersama dengan Netanyahu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menegaskan penyelesaian kemelut Palestin-Israel hanya dapat diselesaikan melalui strategi dua negara. Tambah Hsien Loong, demi menguatkan hujah beliau dengan memberikan contoh Si­ngapura yang mempunyai sejumlah penduduk beragama Islam, beliau mengamalkan pentadbiran mengambil kira kepentingan penduduk pelbagai kaum dan agama.

Sebab itu juga walaupun lawatan Netanyahu ke Singapura dianggap bersejarah kerana pe­mimpin Israel pertama melawat negara itu sejak tiga dekad lalu, Hsien Loong mahukan lawatan dilakukan secara berprofil rendah kerana tidak mahu mengguris hati penduduk negara jiran yang majoritinya beragama Islam. Ti­dak ada agenda lawatan Neta­nyahu yang menjurus kepada publisiti besar-besaran.

Mungkin juga Singapura telah belajar dari peristiwa 1986 ketika buat pertama kali pemimpin ter­tinggi Israel iaitu Presiden Chaim Herzog melawat Singapura menimbulkan ketegangan di antara jiran terdekat seperti Malaysia, Brunei dan juga Indonesia. Ketegangan ini bukan sahaja berlaku antara rakyat tetapi juga melalui saluran diplomatik di antara kerajaan.

Israel perlu lebih banyak belajar dari Singapura bagaimana untuk hidup bersama dengan negara jiran secara harmoni. Jikalau Si­ngapura mengambil pendekatan serupa dengan Israel maka sudah pasti Asia Tenggara tidak akan menjadi aman dan stabil seperti hari ini. Walaupun Singapura mengikuti jejak langkah Israel dalam hal memperkuatkan aset pertahanan mereka dan lazimnya melampaui keperluan yang sepatutnya, tetapi persamaan tersebut berhenti setakat itu sahaja.