Qari Malaysia Tarik Perhatian Warga Saudi Dengan Bacaaan Yang Lunak

ARAB SAUDI: Meskipun orang Islam di Asia Tenggara sering merujuk kepada para ulama’ mahupun qari di Timur Tengah, namun tidak mustahil juga sekiranya perkara sebaliknya berlaku.

Yang jelas, seorang warga Malaysia sudah berjaya menarik perhatian dan menawan hati mereka di negara-negara Arab dengan kemahiran beliau membaca kitab suci Al-Quran.

Dalam tukilan laporan Al Arabiya, Mohamad Yusuf, yang berasal dari Kelantan, juga semakin menempa nama di kalangan warga Timur Tengah, terutama sekali di Arab Saudi.

Dalam satu wawancara dengan Al-Arabiya.net, Yusuf berkata beliau sudah mula menghafaz Al-Quran sejak berusia enam tahun, setelah ayahnya mendapati beliau mahir menghafal ayat-ayat dari kitab suci selain mempunyai suara yang lunak.

Ayahnya kemudian menyertakan Yusuf ke dalam kelas di masjid, di mana beliau lebih mempelajari tajwid serta hukum-hukum sebutan bagi bacaan Al-Quran.

Pada usia 13 tahun, beliau sudah mendalami maqamat, iaitu cara melunakkan suara bagi bacaan kitab suci tersebut.

Menurut laporan Al Arabiya, Yusuf sangat berterima kasih kepada ayah dan guru-gurunya atas sokongan dan dorongan mereka, yang banyak meningkatkan keyakinan dirinya.

 

Malah, Yusuf berkongsi beliau turut menggemari bacaan Al-Quran daripada qari-qari seperti Sheikh Mustafa Ismail, Sheikh al-Shahat Mohammed Anwar, Sheikh Ahmed Naina dan Sheikh Yasir al-Sharqawi.

Buat masa ini, Yusuf juga sedang menuntut di Fakulti Pengajian Islam di Universiti Sultan Ismail. Tahun lalu, beliau turut menjuarai sebuah musabaqah tilawah Al-Quran yang diadakan bagi universiti-universiti di Malaysia.

 

Menjawab kenyataan-kenyataan bahawa qari-qari muda meniru-niru gaya bacaan mereka yang lebih berpengalaman, Yusuf berkata bahawa tidak salah untuk menggunakan teknik-teknik para qari terdahulu.

Bagaimanapun, beliau turut menambah bahawa seseorang qari itu harus merancang dan membangunkan cara bacaan baru tersendiri.

Menurut Al Arabiya lagi, Yusuf juga berkongsi bahawa beliau sedang berusaha keras untuk memperhalusi bacaannya dengan harapan untuk menjadi salah seorang qari yang dihormati

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *