Kedai Samsung Di AMK Hub Terbakar

Satu kebakaran dilaporkan di bilik stor Samsung Experience Store di AMK Hub pada awal pagi Selasa (28 Mac), sehingga menyebabkan kedai-kedai di sekelilingnya dalam pusat beli-belah itu ditutup buat sementara atas sebab-sebab keselamatan dan kerja-kerja pembersihan.

Pengurus besar AMK Hub Andy Kau berkata kebakaran tersebut berlaku di bilik stor kedai yang terletak di besmen satu pada 1.25 pagi dan ia dipadamkan menggunakan sistem pemercik di bilik itu “dalam masa beberapa minit”.

Meskipun tiada kecederaan dilaporkan, pengurusan pusat beli-belah itu sudah menutup kawasan tersebut atas sebab-sebab keselamatan dan bagi memudahkan pembersihan, kata Encik Kau.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia dimaklumkan tentang kebakaran tersebut pada sekitar 1.32 pagi.

Ia mengerahkan dua kereta bomba, dua Red Rhino dan lima kenderaan sokongan ke tempat kejadian. Kebakaran tersebut, yang melibatkan barang-barang di dalam bilik stor kedai yang seluas 1 meter kali 2 meter itu, dipadamkan dengan segera melalui sistem pemercik pusat beli-belah tersebut dan jet air SCDF.

Punca kebakaran masih disiasat, dedah SCDF.

Dalam catatan Facebook pada 8.20 pagi, Fitness First menyatakan cawangannya di AMK Hub, yang terletak bersebelahan kedai Samsung, ditutup buat sementara disebabkan kebakaran itu.

Ia turut mendedahkan dalam perkembangan terkini pada 10.15 pagi bahawa meskipun kelab itu tidak terjejas oleh kebakaran tersebut, ia sedang membersihkan takungan air yang berlaku akibat pemercik-pemercik itu.

Source: BeritaMediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *