Fatwa Saudi Bolehkan Wanita ‘Tok Kadi’ Jalankan Pernikahan

Percaya atau tidak, wanita boleh menjalankan pernikahan.

Demikian menurut fatwa yang dikeluarkan seorang anggota Majlis Masyaikh Arab Saudi, Sheikh Abdullah Al-Manea.

Beliau memberitahu Okaz Daily bahawa tugas itu sekadar mencatat dokumen kontrak perkahwinan dan “jika Kementerian Kehakiman meluluskannya, maka tidak ada sebarang halangan dari segi undang-undang, lapor laman Arab News.

Untuk melayakkan diri bagi mendapatkan lesen, pemohon perlu mempunyai tatasusila yang baik dan tiada rekod jenayah, mendapat sokongan daripada dua ulama Islam dan berusia 25 tahun ke atas.

Ini bukanlah fatwa pertama yang dikeluarkan oleh Al-Manea yang menyebelahi kaum wanita.

Pada bulan September lalu, beliau berkata wanita-wanita adalah penjaga diri mereka sendiri dan mempunyai hak untuk menguruskan semua ehwal berkaitan diri mereka kecuali dalam perkahwinan, lapor Arab News.

Peguam Nojoud Qasim memberitahu Arab News tiada halangan dari segi undang-undang bagi wanita untuk menjalankan pernikahan.

Terdapat permintaan bagi kerjaya itu di kalangan wanita Saudi “jika mereka diberi pelulang”, menurut Qasim seperti yang ditukil Arab News.

Source: BeritaMediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *