Mengapa Seorang Mahasiswa Berusia 24 Tahun Jadi Security Guard?

Habil Shah, 24 tahun, sedang memburu ijazah di sebuah universiti swasta, dalam pengurusan sekitaran dan kesihatan pekerjaan serta keselamatan.

Sejak April tahun lalu, beliau menyertai agensi keselamatan Certis CISCO sebagai pengawal keselamatan sambilan.

Dari semasa ke semasa, Habil dikerahkan bertugas di acara-acara khas seperti konsert, pertunjukan dan beberapa tugasan keselamatan.

“Saya suka kerja ini sebab kerja ini fleksibel dan saya dapat lihat ramai artis dalam konsert-konsert. Dan saya boleh dapat berjumpa kawan-kawan yang bekerja bersama saya dan saya menjadi seorang yang penyabar,” ujar beliau.

Masa kerja fleksibel sebagai pegawai keselamatan sambilan memudahkan Habil mengurus masa, mengimbangi antara sekolah dengan pekerjaan.

MANFAAT DAPATKAN PELAJAR SEBAGAI PENGAWAL KESELAMATAN

Para pegawai CISCO semasa sambutan Hari Kebangsaan. (Gambar: Laman Certis CISCO)

Certis CISCO menggajikan sekitar 500 pelajar pos-menengah seperti Habil, sebagai pengawal keselamatan sambilan.

Mereka perlu menjalani latihan “mengawal orang ramai dan lalulintas” selama satu hingga dua minggu, sebelum boleh dikerah untuk menjalankan “tugasan mudah” yang tidak memerlukan penggunaan senjata api.

Menurut Naib Presiden Certis CISCO Jason Tan, syarikat itu kekurangan tenaga kerja dan satu pilihan ialah untuk memanfaatkan golongan pelajar.

Dari aspek keselamatan negara, setiap pelajar yang dilatih kata beliau bermakna seorang lagi yang dapat mengenal pasti ancaman pengganas.

Firma kawalan keselamatan Aetos pula menggajikan sekitar 100 pelajar pos-menengah sebagai pengawal keselamatan dan pegawai polis bantuan sambilan.

Para pegawai polis bantuan sambilan yang membawa senjata api perlu menjalani latihan sehingga 11 minggu.

Syarikat Aetos berharap para pekerja sambilannya ini akan menjadi pekerja tetap, setelah tamat pengajian.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *