Nasi Arab Unik Di Melaka – Nasi Kambing Kat Kubur

MELAKA: Hidangan di sebuah kedai makan yang menjual nasi Arab mungkin kedengaran agak pelik namun pasti melekat dalam ingatan.

Nasi Kambing Kat Kubur adalah salah satu menu menarik yang dijual di Kedai Sawit Corner, sebuah kedai makan yang terletak di bawah rimbunan pokok kelapa sawit di Solok Duku, Alor Gajah, Melaka.

Lokasi kedai yang bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Mualim di Solok Duku itu mencetuskan idea kepada para pemiliknya untuk menjadikan nama hidangan unik itu sebagai satu jenama.

Kedai itu diusahakan sejak enam tahun lalu oleh Nabila Asyyiqin Marzuki, 25 tahun, dan suami, Mohamad Khairul Azwan Md Ramli, 28 tahun, selain dibantu saudara mereka, Muhammad Hayad Norazman, 25 tahun, lapor laman Berita Harian Malaysia.

Menurut mereka, keputusan untuk menjenamakan hidangan Nasi Kambing Kat Kubur itu dibuat setelah menerima banyak pertanyaan tentang lokasi kedai.

“Kami mengusahakan kedai makan ini sejak 2006 dengan menjual cucur udang, bakso, mi kari, laksa dan cendol sebelum menambah gulai kawah itik, daging dan kambing pada tahun 2009, diikuti nasi Arab pada 2011.

“Penambahan juadah dibuat supaya pelanggan mempunyai pilihan kerana bukan semua mahukan hidangan alas perut, sebaliknya yang mengenyangkan untuk perjalanan jauh,” Cik Nabilah Asyyikin memberitahu Berita Harian Malaysia.

Menurut catatan di laman Facebook Sawit Corner, Nasi Kambing Kat Kubur adalah nasi Arab yang dihidangkan dengan daging kambing berempah.

Ia turut menjadi hidangan pilihan ramai pelanggan, dengan salah seorang daripadanya menyatakan: “Kalau akak mati hari ini pun akak reda dan puas sebab akak dapat makan nasi Arab. Sedap sangat.”

Cik Nabilah Asyyikin berkata kedainya turut menyediakan Nasi Kambing Kat Kubur dengan ayam atau kambing, set dimakan seorang ataupun keluarga.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *